CAS penentu masa depan FAM, Harimau Malaya

CAS penentu masa depan FAM, Harimau Malaya

Mohd Yusoff Mahadi (tengah) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Exco di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Status kepimpinan dan hala tuju reformasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya akan diketahui selepas berakhir proses rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan, sebarang bentuk perubahan termasuk pelaksanaan cadangan reformasi pentadbiran yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Siasatan Khas (IIC) tidak boleh dilaksanakan selagi kes membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya belum diselesaikan sepenuhnya.

Menurut beliau, keputusan CAS menjadi penentu utama kepada masa depan struktur kepemimpinan badan induk itu, sama ada kepimpinan sedia ada akan dikekalkan atau rombakan besar perlu dilakukan demi memastikan kelangsungan dan kredibiliti bola sepak negara.

Malah, status pasukan kebangsaan turut bergantung kepada keputusan akhir badan kehakiman sukan itu, termasuk kemungkinan sama ada Harimau Malaya akan dibubarkan atau terus dikekalkan.

“FAM sudah menghantar semua dokumen berkaitan kepada CAS dan ketika ini kami sedang menunggu tarikh perbicaraan ditetapkan.

“Sekarang ini boleh dikatakan laporan dan proses sudah sampai ke peringkat CAS, cuma kita masih menunggu bila perbicaraan akan dijalankan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas EXCO di Wisma FAM, semalam.

Yusoff menegaskan, keutamaan FAM adalah memastikan semua proses perundangan berjalan dengan teratur tanpa membuat sebarang keputusan tergesa-gesa yang boleh memberi kesan lebih besar kepada organisasi.

Beliau menjelaskan fokus utama adalah mengekalkan status quo sementara menunggu keputusan rasmi, sebelum sebarang langkah pembaharuan dapat dipertimbangkan secara menyeluruh.

Tambahnya, FAM mahu memastikan setiap keputusan dibuat berlandaskan kepentingan jangka panjang, bukan sekadar untuk menyelesaikan isu semasa.

“Lebih kepada reformasi pentadbiran. Kalau kita ambil daripada situ, kita perlu ambil langkah terbaik untuk FAM dan bola sepak negara.

“Proses ini perlu diselesaikan dahulu. Selepas itu barulah kita boleh buat keputusan yang lebih baik untuk FAM dan bola sepak negara,” jelasnya.

Terdahulu, kes melibatkan tujuh pemain warisan itu mencetuskan kontroversi besar apabila FIFA memutuskan dokumentasi pemain terbabit tidak sah, sekali gus membawa kepada hukuman terhadap FAM dan pemain berkenaan.

Berikutan itu, FAM mengambil langkah membawa kes berkenaan ke CAS sebagai usaha terakhir mempertahankan dan membersihkan nama pasukan kebangsaan serta bola sepak negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×