Bila kata-kata menjadi senjata perpecahan

Bila kata-kata menjadi senjata perpecahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAI enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, inilah cara hidup masyarakat moden zaman ini. Sikap ananiah (mementingkan diri sendiri) yang semakin menebal dalam diri menjadikan kita semua semakin hari semakin alpa dan terasing daripada cara kehidupan bermasyarakat yang suatu masa dahulu menjadi amalan hidup bertamadun.

Kini tidak ganjil lagi apabila ada antara kita yang sudah hilang rasa belas kasihan terhadap orang sekeliling. Dahulu, rasa empati sesama begitu tinggi, ibarat paha kiri turut terasa cubitan pada paha kanan.

Namun kini, apabila paha kanan dicubit, besar kemungkinannya paha kiri langsung tidak ambil endah. Malah, kadangkala paha kiri sendiri yang turut menyinggung kuat paha kanan agar bertambah teruk rasa sakitnya.

Berselindung di sebalik nama samaran pentas alam maya, ramai yang tanpa segan-silu merasa bebas menghamburkan maki hamun dan kata-kata nista kepada pihak lain. Bukan hanya setakat itu, ada pula sanggup memfitnah pihak lawan atas alasan mereka mempunyai sebab kukuh untuk berbuat demikian.

Alam maya menjadi medan perbincangan dan perdebatan hangat apabila sesiapa sahaja bebas mengeluarkan pendapat dan memberi hujahan. Apabila timbul sahaja isu panas, maka ramailah yang berlumba-lumba membuat ulasan, walaupun mereka bukan sahaja tidak mempunyai kepakaran tetapi sebenarnya tidak memahami isu yang diperkatakan.

Akhirnya, timbullah pelbagai cerita yang diolah dan ditokok tambah agar menjadi lebih panas dan menarik.

Lebih sensasi ceritanya, semakin mudah tular walaupun yang diperkatakan itu sebenarnya di luar konteks dan langsung tidak masuk akal.

Seterusnya, lahirlah hakim-hakim segera tanpa tauliah yang seperti nujum Pak Belalang, boleh membuat keputusan hanya dalam sekelip mata tanpa perlu mengkaji bahan bukti, keterangan saksi mahupun mengkaji peruntukan undang-undang.

Termakan dengan apa yang mereka dengar, ramai sahaja warga maya yang percaya bulat-bulat perkara yang ditularkan tanpa membuat bacaan lanjut, lalu memanjangkannya sehingga menjadi topik perbincangan hangat sesama kita di mana-mana sahaja.

Tidak dapat dinafikan, ramai juga dalam kalangan rakyat merasa yakin cerita-cerita di media sosial itu semuanya benar dan telus.

 

SIKAP AHLI POLITIK

Lebih malang lagi, kita juga dihidangkan dengan karenah para pemimpin politik yang turut mempamerkan sikap seperti juara media sosial. Ada yang bercakap tentang hal yang jelas tidak difahami, termasuk semasa sesi perbahasan di Parlimen. Malang sekali jika pembuat dasar tidak dapat memahami topik yang dibahaskan tetapi hanya tahu berbalah kosong dan menjerit-jerit di Parlimen tanpa dapat mengusulkan idea bernas untuk mensejahterakan kehidupan rakyat.

Sememangnya bercakap dan berjanji jauh lebih mudah daripada melaksanakan tanggungjawab masing-masing setelah menjadi wakil rakyat. Jadi bagi menutup kelemahan diri, mereka mahu menunjukkan kepada penyokong yang merekalah juara di Parlimen, walaupun tidak lebih daripada juara tin kosong.

Ada pula yang membuat kenyataan-kenyataan yang bukan setakat bersifat tidak benar malah begitu sensitif dan boleh membangkitkan keresahan serta perasaan marah dalam rakyat. Keadaan sebegini tidak boleh dipandang ringan kerana jika tersilap langkah boleh menimbulkan perbalahan dalam kalangan rakyat.

Begitu juga dengan kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pemimpin politik yang menyentuh sensitiviti serta maruah pihak lain, khasnya perkara yang melibatkan isu berkaitan raja, agama dan kaum (3R).

Pemimpin yang baik harus mempunyai sifat empati dan tidak mementingkan diri. Sebagai pemimpin, mereka tidak boleh mengeluarkan kenyataan secara semberono sesedap hati tanpa memikirkan kesannya kepada pihak yang terlibat.

Jika dipilih sebagai pemimpin, maka pimpinlah rakyat dengan penuh tanggungjawab dan bukannya mengajar rakyat menjadi biadab.

Hidup dalam negara terdiri daripada rakyat pelbagai kaum seperti Malaysia memerlukan sifat keterbukaan dan hormat-menghormati yang tinggi serta tidak mementingkan diri sendiri.

Oleh kerana itu para pemimpin tidak sesekali patut gila kuasa, sebaliknya mesti mendahulukan tanggungjawab kepada negara demi kesejahteraan rakyat.

Pemimpin harus menyatupadukan rakyat dan bukannya sengaja menambah bara api perbalahan di antara kaum yang berbeza agar diangkat sebagai jaguh oleh penyokong.

Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Malangnya, demi mendapatkan sokongan pengundi, maka ada pemimpin yang sanggup mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menghiris hati pihak lain. Hakikatnya itu bukanlah ciri-ciri pemimpin yang baik dan bertanggungjawab.

Kita mengharapkan apa sahaja yang berlaku tidak akan mencetuskan perbalahan dalam kalangan rakyat serta menjejaskan kestabilan negara. Negara mengalami banyak kerugian akibat ketidakstabilan politik negara apabila dengan sekali mengundi mendapat tiga Perdana Menteri dalam masa tiga tahun.

Ketika ini kita sedang menyaksikan kegawatan politik di Perlis setelah lapan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis menarik sokongan terhadap Menteri Besar, sehingga beliau terpaksa meletakkan jawatan.

Alangkah baiknya jika kesemua pemimpin politik mempunyai rasa empati dan memahami keperluan rakyat iaitu kestabilan negara, bukan perebutan kuasa pada peringkat atasan.

Negara memerlukan pemimpin politik yang berwibawa, bijaksana dan ikhlas bekerja untuk rakyat. Malangnya, ramai juga yang hanya sibuk berpolitik siang dan malam, seolah-olah itulah tugas utama mereka.

Matlamat tidak boleh dicapai hanya melalui kata-kata. Kita perlukan tindakan dan pengorbanan di seluruh peringkat. Jangan hanya kerana diri inginkan lebih, seluruh rakyat digadaikan begitu sahaja.

Ingatlah tanggungjawab masing-masing, baik dalam kalangan rakyat jelata mahupun dalam kalangan pemimpin negara.

Jangan kerana tamak menyebabkan kita tersilap langkah dan menambah keruh kepada keadaan yang kucar-kacir.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×