Alonso bakal dipecat, Klopp calon pengganti? 

Alonso bakal dipecat, Klopp calon pengganti? 

Jurgen Klopp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Pengurus Real Madrid, Xabi Alonso berdepan risiko kehilangan jawatannya seawal minggu ini, menurut beberapa laporan media di Sepanyol.

Alonso mengharungi permulaan sukar apabila pasukannya tewas 0-2 kepada Celta Vigo kelmarin dan kekalahan itu menyebabkan Real ketinggalan empat mata di belakang pesaing tradisi, Barcelona selepas sebulan lalu mereka memiliki kelebihan lima mata di depan.

Keputusan itu turut diselubungi kekecohan di terowong stadium selepas dua pemain Real dilayangkan kad merah dan Jude Bellingham dilaporkan berdarah di muka.

Terdapat laporan mengenai ketegangan antara Alonso dan beberapa pemainnya termasuk nama besar seperti Bellingham, Kylian Mbappe dan Vinicius Jr.

Akhbar Sepanyol, Marca melaporkan pegawai kelab telah mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan prestasi buruk, bilangan kecederaan yang tinggi dan kualiti pengadilan yang dipersoalkan.

Tonggak pertahanan, Eder Militao kini dijangka terlepas untuk bermain beberapa minggu susulan kecederaan.

Laporan itu menyatakan Alonso hanya mempunyai beberapa hari untuk menyelamatkan jawatannya, dan kemungkinan besar bergantung kepada aksi Los Blancos menentang Manchester City dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Real akan menentang pasukan kendalian Pep Guardiola, kini mereka berada di kedudukan kelima, mencatat empat kemenangan dan satu kekalahan setakat ini.

Dalam semua pertandingan, Alonso hanya mencatat tiga kemenangan daripada tujuh perlawanan terakhir, di bawah jangkaan kelab terhadap bekas pemain tengah itu sejak berpindah dari Bayer Leverkusen.

Kelab dilaporkan sudah meneliti calon pengganti sekiranya Alonso dipecat antaranya legenda kelab dan bekas pengurus Zinedine Zidane dikaitkan sebagai calon untuk kembali, tetapi nama paling mengejutkan adalah bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

Klopp meninggalkan Liverpool pada akhir musim 2023-24 selepas hampir sembilan tahun, tetapi Real dikatakan tidak teragak-agak untuk menawarkan beliau jawatan itu.

Alonso dipercayai mempunyai pendekatan lebih tegas berbanding pengurus Real terdahulu seperti Carlo Ancelotti dan Zidane, termasuk peraturan ketat untuk membuang ‘tabiat buruk’ dan memastikan pemain perlu berjuang untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN