LONDON: Terlalu selesa menjadi punca Manchester United membenarkan Tottenham Hotspur bangkit mencatat keputusan seri 2-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.
Perkara itu diakui pengurus Red Devils, Ruben Amorim yang menyifatkan sikap itu menyebabkan mereka kehilangan dua mata walaupun pasukannya berjaya menjaringkan gol penyamaan pada saat akhir.
Bryan Mbuemo meletakkan United di depan menerusi tandukan pada separuh masa pertama dan kelihatan membuka jalan untuk kemenangan keempat dalam lima perlawanan, namun Spurs menyamakan kedudukan enam minit sebelum tamat permainan, dan Richarlison menambah jaringan pada masa kecederaan sebelum Matthijs de Ligt memastikan satu mata buat United menerusi gol pada minit ke-96.
Amorim bagaimanapun tidak berminat meraikan penamat dramatik itu dan menegaskan pasukannya sepatutnya dapat menamatkan perlawanan dengan lebih baik, terutama selepas mereka juga kehilangan kelebihan dalam keputusan seri 2-2 menentang Nottingham Forest, minggu lalu.
“Kami ada banyak masalah. Kami baru di peringkat permulaan. Saya tahu keputusan kadang-kadang buat orang nampak seolah-olah kami sedang meningkat tetapi sebenarnya masih banyak perlu diperbaiki.
“Untuk bangkit dan menjaringkan gol memang sesuatu yang baik tetapi jika lihat keseluruhan permainan, kami terlalu selesa dan sepatutnya lebih agresif, memahami suasana stadium, bahawa tiga mata sudah hampir, ruang pun terbuka.
“Kami perlu sedar dalam satu gerakan sahaja, apa-apa boleh berlaku dan mengubah mood stadium. Itulah yang terjadi hari ini (semalam),” kata Amorim.
Penyerang Benjamin Sesko, yang dibeli musim panas ini dengan bayaran awal 76.5 juta euro (RM369 juta), bermula di bangku simpanan selepas dikritik susulan hanya dua gol dalam 11 penampilan terakhirnya.
Amorim menegaskan, beliau tidak risau dengan prestasi Sesko tetapi bimbang kecederaan lutut yang dialami pemain itu mungkin menyebabkan dia terpaksa berehat panjang.
“Saya lebih bimbang mengenai kecederaan kerana ia di bahagian lutut dan saya belum pasti tahapnya dan kami perlukan Ben untuk menjadi pasukan yang lebih baik,” ujarnya. – AGENSI/UTUSAN










