RIYADH: Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo mengesahkan Piala Dunia 2026 bakal menjadi penampilan terakhirnya di pentas tertinggi bola sepak dunia.
Keputusan itu menyaksikan penyerang berbisa berusia 40 tahun itu memberi bayangan untuk mengakhiri karier luar biasanya bersama Portugal yang kini dibimbing oleh Roberto Martínez.
Ronaldo yang menyarung jersi Al Nassr di Arab Saudi sudah menjaringkan lebih 950 gol di peringkat kelab serta antarabangsa, turut mengakui bakal menggantung but dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.
“Sudah tentu, ya. Piala Dunia 2026 akan menjadi yang terakhir buat saya. Saya akan berusia 41 tahun ketika itu dan saya fikir itulah waktunya (untuk bersara),” katanya.
Ronaldo, yang memulakan kariernya di Arab Saudi bersama kelab Al Nassr pada 2023 turut menjelaskan mengenai komen minggu lalu ketika dia berkata akan bersara tidak lama lagi.
“Jujurnya, apabila saya berkata ‘tidak lama lagi’, ia bermaksud satu atau dua tahun lagi saya akan tetap bermain dan selepas itu ia (persaraan) akan diputuskan,” katanya.
Pemenang lima kali anugerah tertinggi bola sepak dunia, Ballon d’Or itu berharap dapat beraksi untuk kali keenam di Piala Dunia tahun depan bersama skuad Martinez.
Ronaldo hampir menjulang trofi ketika membuat penampilan sulungnya pada 2006 yang menyaksikan Portugal tewas di tangan Perancis di separuh akhir.
Portugal masih belum menempah tiket kelayakan ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, namun mampu menjamin tempat ke kejohanan berprestij itu sekiranya menewaskan Ireland. – AGENSI









