PETALING JAYA: Pemain boling wanita negara Adelia Nur Irwan Syazalee menunjukkan potensi menjadi pencabar utama di pentas antarabangsa selepas meraih naib juara acara perseorangan Kejohanan Boling Dunia 2025 di Hong Kong, semalam.
Ketua jurulatih boling kebangsaan, Ben Heng Boon Hian berkata, pencapaian tersebut disifatkan sangat membanggakan, namun menegaskan perjalanan Adelia masih jauh untuk mencapai potensi sepenuhnya.
Menurutnya, Adelia menunjukkan peningkatan ketara terutamanya selepas melakukan perubahan teknikal sebelum kejohanan itu.
Namun katanya, aspek konsistensi masih boleh diperbaiki bagi memastikan prestasi yang lebih menyerlah di kejohanan dunia.
“Daripada segi teknikal, persembahan Adelia semakin meningkat dan dia masih terus memperbaikinya. Perjalanan dia masih panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam aksi perlawanan akhir itu, Adelia terpaksa akur dengan kehebatan wakil Finland, Essi Pakarinen yang tampil lebih konsisten untuk menang dengan kiraan 2-0.
Adelia tewas 191-217 pada permainan pertama dan cuba memberikan saingan pada permainan kedua, namun keputusan 169-214 memihak kepada Pakarinen sekali gus dinobatkan sebagai juara dunia.
Di separuh akhir, Adelia menampilkan semangat juang yang tinggi apabila menewaskan pemain berpengalaman Singapura, Shayna Ng Lin Zhi dengan keputusan 2-1.
Selepas memenangi set pertama 202-184 dan tewas tipis 160-164 pada set kedua, Adelia bangkit apabila melakukan jatuhan pin 230 berbalas 196 pada set penentuan untuk mara ke pusingan akhir.
Mengulas perseorangan lelaki, Ben Heng berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh Hafiz Zainuddin biarpun tidak berjaya menaiki podium.
“Pemain lelaki memang beraksi seperti yang diharapkan dalam acara perseorangan ini. Hafiz hampir dapat pingat untuk negara,” katanya
Tambah Ben, fokus selepas ini adalah meneruskan latihan intensif bagi memperkukuh fizikal dan keseluruhan permainan Adelia sekali gus mempersiapkannya bagi menghadapi kejohanan utama yang akan datang.
“Pingat perak ini hanya permulaan kepada tahap yang lebih tinggi dalam pembangunan karier Adelia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ben Heng turut menegaskan agar momentum pemain perlu dikekalkan sebagai persediaan menghadapi kejohanan akan datang terutamanya Sukan SEA di Thailand Disember ini.
“Pemain perlu kekalkan prestasi sahaja sebab Sukan SEA nanti formatnya berbeza, corak minyak (oiling) serta peserta-peserta yang bakal ditentang juga lain,” ujarnya. – UTUSAN










