Malaysia Speedy buktikan kebal

Malaysia Speedy buktikan kebal

SKUAD Bawah 18 Tahun negara meraikan kejayaan memenangi Piala Mirnawan 2025 selepas menewaskan Jepun pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, kelmarin. - IHSAN KONFEDERASI HOKI MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semangat juang tinggi kunci utama skuad hoki lelaki bawah 18 tahun (B-18) negara berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Mirnawan selepas menewaskan Jepun 4-3 dalam aksi final penuh dramatik di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Ketua Jurulatih, Nor Aqmal Abdul Ghaffar nyata berpuas hati meskipun terpaksa beraksi dengan kekurangan pemain selepas dua layangan kad kuning.

“Saya hanya ingatkan mereka kita mesti menang dan bawa pulang piala ini untuk Malaysia. Kita tidak boleh lepaskan kejuaraan ke tangan negara lain,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengakui Jepun tampil dengan corak permainan lebih pantas dan bertenaga, namun kecekapan taktikal serta disiplin pertahanan menjadi kunci kemenangan skuad muda negara.

“Jepun pasukan yang sangat laju dan lebih bertenaga, tapi pemain kita berjaya mengawal tekanan dan bertahan dengan disiplin.

“Walaupun kekurangan pemain untuk seketika, mereka tetap berjuang hingga ke minit akhir,” ujarnya.

Nor Aqmal turut menjelaskan Malaysia Speedy menamatkan kejohanan tanpa kalah, dengan rekod cemerlang hanya satu keputusan seri 2-2 menentang Afrika Selatan di peringkat kumpulan.

“Kita ada ramai pemain muda berpotensi besar. Saya yakin generasi ini mampu pergi lebih jauh dan terus mengharumkan nama Malaysia,” tambahnya.

Malaysia Speedy memulakan perlawanan dengan garang, mendahului 3-1 pada pertengahan permainan hasil serangan pantas dan penyudah tajam di kawasan D lawan.

Namun, Jepun yang terkenal dengan disiplin tinggi tidak mudah mengalah apabila bangkit menyamakan kedudukan 3-3 pada suku terakhir, sekali gus mengheret debaran ke kemuncak.

Ketika semua menjangka perlawanan bakal ditentukan menerusi pukulan penalti, skuad negara kembali mencipta keajaiban.

Detik gemilang hadir di penghujung permainan apabila Muhammad Safwan Salihe meledak pukulan sudut penalti yang menembusi benteng Jepun, memastikan kejuaraan kekal di bumi Malaysia.

Lebih manis, Safwan turut dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan sembilan jaringan, termasuk hatrik pada aksi final tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN