PETALING JAYA: Bermain mewakili kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) selama lima tahun dilihat jalan terakhir buat tujuh pemain warisan negara yang digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) jika masih berhasrat menyarung jersi Harimau Malaya.
Ini selepas rayuan dikemukakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap hukuman FIFA ditolak, sekali gus mengekalkan penggantungan pemain-pemain berkenaan daripada sebarang aktiviti bola sepak di peringkat antarabangsa selama setahun.
Dengan keputusan itu, nasib tujuh pemain terbabit iaitu Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Imanol Machuca, kini bergantung sepenuhnya kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Jika rayuan di peringkat tertinggi itu juga gagal, mereka perlu melengkapkan tempoh lima tahun bermastautin di Malaysia sebelum layak mewakili pasukan kebangsaan, seperti yang termaktub dalam Artikel 6(5) Statut Undang-Undang FIFA.
Tiga daripada empat pemain warisan yang digantung itu iaitu Irazabal, Figueiredo dan Hevel telahpun bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) maka empat lagi pemain terbabit perlu mencari kelab baharu di Liga M.
Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli menjelaskan, pemain-pemain ini tetap tidak boleh menyarung jersi skuad kebangsaan walaupun sudah bergelar rakyat Malaysia dan tempoh hukuman mereka sudah tamat, selagi mana tidak memenuhi syarat ditetapkan FIFA.
“Selepas tamat tempoh penggantungan 12 bulan, mereka boleh beraksi semula di peringkat kelab sama ada di Malaysia atau di luar negara. Tetapi untuk mewakili Malaysia, mereka masih perlu mencukupkan tempoh lima tahun berada di negara ini
“FIFA mendefinisikan ‘berada di negara’ sebagai sekurang-kurangnya 183 hari dalam tempoh 12 bulan, dan hanya selepas lima tahun pemain itu dianggap layak untuk beraksi di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan,” katanya.
Tambah Nik Erman, hukuman tersebut tidak boleh dijadikan ‘tiket pelepasan’ untuk membetulkan keadaan kerana secara undang-undang, mereka tetap tidak memenuhi syarat kelayakan mewakili Malaysia.
Dalam situasi itu, Liga Super kini dilihat sebagai destinasi terbaik buat empat lagi pemain warisan berkenaan bagi meneruskan karier dan pada masa sama mencukupkan tempoh lima tahun bermastautin di Malaysia sebagai langkah terakhir untuk menghidupkan kembali impian bergelar pemain Harimau Malaya. – UTUSAN










