PETALING JAYA: Kegagalan Selangor FC (SFC) mara dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) tidak wajar ditunding jari sepenuhnya kepada Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Johan Kamal Hamidon mahupun Pengarah Teknikal, Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Bekas pemain Gergasi Merah, Azlan Johar menegaskan, kedua-dua individu itu tidak sepatutnya dipersalahkan selepas pasukan tewas 2-3 kepada Persib Bandung yang menyaksikan mereka tersingkir di peringkat kumpulan dengan empat kekalahan berturut-turut.
Katanya, punca sebenar kegagalan itu berpunca daripada kelemahan taktikal dan strategi barisan kejurulatihan yang dilihat gagal membaca permainan lawan serta tidak memanfaatkan kelebihan dimiliki ketika beraksi di laman sendiri, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Azlan turut menyeru penyokong SFC supaya bertenang dan menjadikan kekalahan itu sebagai pengajaran berguna untuk pasukan melakukan ‘bedah siasat’ terhadap kelemahan yang wujud agar dapat diperbaiki menjelang musim baharu.
“Saya letakkan kekalahan ini di atas bahu kejurulatihan dan pemain kerana mereka yang berada di atas padang. Johan dan Shahril tidak terbabit secara langsung dalam pengurusan taktikal pasukan. Jadi tidak adil jika mereka dipersalahkan.
“Saya percaya mereka berdua sangat komited dan sentiasa memberi sokongan penuh kepada pasukan. Mereka bukan datang daripada latar belakang bola sepak, tetapi jelas menunjukkan semangat dan ketelusan dalam setiap perlawanan,”katanya.
Terdahulu, tekanan terhadap pengurusan SFC semakin meningkat apabila Kelab Penyokong Bolasepak Selangor (SSFC) mendesak supaya rombakan segera dilakukan dengan meminta Johan dan Shahril meletakkan jawatan.
Azlan menegaskan, tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha memperbaiki prestasi pasukan termasuk memantapkan disiplin dan konsistensi pemain yang menjadi tonggak utama kepada kejayaan di atas padang.
“Pemain perlu bertanggungjawab terhadap kecemerlangan mereka sendiri. Jangan jadikan alasan letih kerana pemain bertaraf dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi pun tidak pernah mengeluh.
“Jurulatih boleh beri panduan, tapi usaha mempertingkatkan diri datang daripada pemain sendiri,” ujarnya. – UTUSAN











