PETALING JAYA: Aksi menentang Nepal pada 18 November ini dalam kelayakan Piala Asia 207 adalah peluang terbaik Harimau Malaya menutup tirai 2025 dengan rekod bersih di bawah kendalian Peter Cklamovski.
Biarpun terpalit dengan isu membabitkan tujuh pemain warisan, aksi Harimau Malaya di atas padang pada musim ini wajar diberikan pujian kerana banyak perubahan yang dibawa oleh jurulatih kelahiran Australia itu.
Sejak mengambil alih pasukan pada awal tahun ini, Cklamovski membawa perubahan ketara apabila Harimau Malaya mencatat enam kemenangan daripada tujuh perlawanan, sama ada dalam aksi persahabatan atau aksi rasmi.
Ketika ini, fokus Cklamovski adalah memastikan Malaysia terus berada di landasan tepat menjelang aksi kelima Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 18 November ini.
“Bagi saya mudah. Saya hanya fokus pada apa yang saya boleh kawal memastikan hari ini dan setiap hari kita buat dengan betul.
“Saya hanya mahu membuat rakyat Malaysia bangga melalui cara kita bermain, identiti bola sepak kita, keputusan kita, dengan menutup tahun tanpa kalah, bermain bola sepak yang baik, menjaringkan gol dan mengekalkan rekod tanpa bolos,” kata Cklamovski.
Ketika ini, Harimau Malaya mendahului Kumpulan F dengan 12 mata maksimum selepas empat perlawanan, diikuti Vietnam (9 mata), Laos (3 mata) dan Nepal di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
Walaupun isu pemalsuan dokumen yang melibatkan tujuh pemain naturalisasi memberi kesan besar kepada perancangan awal skuad negara, Cklamovski menegaskan semangat dalam kem nasional masih kuat
Bagaimanapun, Cklamovski tidak mahu anak buahnya berada dalam kedudukan selesa atau mengambil mudah lawan yang berada di tangga tercorot.
“Kita tidak boleh ambil apa-apa sebagai mudah. Kita perlu bekerja keras, kekal merendah diri dan terus membina bola sepak kita kerana kita bakal berdepan lawan yang bukan senang malam Selasa nanti,” katanya. – UTUSAN










