MANCHESTER: Pep Guardiola menyifatkan pertembungan menentang Liverpool awal pagi Isnin ini sebagai lawan sempurna bagi menandakan aksi ke-1,000 beliau dalam karier kejurulatihan.
Guardiola mengakui jika diberi pilihan, beliau memang mahu berdepan The Reds untuk menandakan detik bersejarah tersebut kerana persaingan sengit antara kedua-dua pasukan selama ini.
“Liverpool adalah pesaing terbesar di negara ini dan sejujurnya saya rasa tiada yang lebih baik daripada itu.
“Saya rasa kami mendorong Liverpool untuk jadi lebih baik, dan Liverpool juga mendorong kami untuk jadi lebih baik. Itu pasti,” kata Guardiola.
City dan Liverpool pernah bertarung sengit memburu kejuaraan pada musim 2018-19 dan 2021-22, dengan kedua-duanya dimenangi City hanya dengan kelebihan satu mata.
“Liverpool, terutama ketika bersama Jurgen Klopp, adalah lawan paling sukar. Saya sentiasa merasakan betapa besar rasa hormat kami antara satu sama lain,” jelasnya.
Guardiola turut meluahkan rasa bangga apabila diumumkan sebagai ahli baharu Dewan Kemasyhuran 1,000 Kelab oleh Persatuan Pengurus Liga (LMA) selepas melalui perjalanan penuh liku sejak bermula di Barcelona B pada 2007.
“Saya cintakan bola sepak dan suka mengkaji rahsia bagaimana kami boleh menewaskan lawan. Mudah-mudahan Isnin ini kami dapat meneruskannya,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










