Atlet Rusia kembali kibar bendera sendiri    

Atlet Rusia kembali kibar bendera sendiri    

Ayub Bliev (pakaian putih) bertarung dengan lawannya dari Mongolia, Ariunbold Enkhtaivan dalam kategori 60 kilogram Kejohanan Judo Abu Dhabi 2025, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABU DHABI: Ayub Bliev menjadi atlet Rusia pertama dalam lebih dua tahun memenangi gelaran di bawah bendera negaranya apabila muncul juara Kejohanan Judo Abu Dhabi Grand Slam.

Bliev, 28, memakai bib bertanda RUS dan bukan lagi AIN (atlet neutral yang dibenarkan) seperti sebelum ini, menewaskan Ariunbold Enkhtaivan dari Mongolia dalam final kategori 60 kilogram (kg) dan menerima pingat emasnya dengan bendera negaranya dikibarkan serta lagu kebangsaan Rusia dimainkan.

Bliev dan rakan sepasukannya dibenarkan kembali bertanding di bawah identiti kebangsaan selepas status atlet neutral mereka ditarik balik oleh Persekutuan Judo Antarabangsa (IJF), status yang diperkenalkan sejak Rusia menyerang Ukraine pada Februari 2022.

Belarus, yang secara meluas dianggap sebagai sekutu Rusia, telah mendapat kembali status penuh mereka Jun lalu.

Keputusan itu dibuat walaupun perang masih berterusan di Ukraine, dengan Presiden Rusia Vladimir Putin berkata, konflik hanya akan berakhir jika Kyiv berundur dari wilayah yang dituntut oleh Moscow.

Persekutuan judo Ukraine mengecam keputusan tersebut dan menuduh IJF melakukan pelanggaran terang-terangan terhadap saranan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

“Ukraine membayar dengan nyawa rakyatnya setiap hari. Antara mangsa adalah atlet, jurulatih, sukarelawan, dan kanak-kanak,” kata persekutuan itu dalam satu kenyataan di laman webnya.

Ia berkata, keputusan itu bercanggah dengan prinsip keamanan, keadilan, dan tanggungjawab, serta merosakkan kepercayaan terhadap institusi sukan antarabangsa.

Pemulihan penuh itu disambut dengan kegembiraan di Rusia, yang mana Putin merupakan pemegang tali pinggang hitam judo. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×