LONDON: Arsenal menghadapi ujian getir apabila tonggak pertahanan tengah mereka, Gabriel Magalhaes, dijangka terlepas perlawanan derbi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham Hotspur Ahad ini akibat kecederaan paha.
Gabriel yang menjadi tunjang utama benteng Mikel Arteta musim ini dilaporkan mengalami kecederaan ketika perlawanan persahabatan Brazil menentang Senegal minggu lalu.
Ketiadaannya memberi tamparan hebat kepada pendahulu EPL itu yang kehilangan kehadiran pemain pertahanan tengah paling dominan.
Arsenal kini mengungguli liga dengan empat mata di hadapan pencabar utama, Manchester City, namun kecederaan Gabriel serta keraguan terhadap kecergasan beberapa pemain utama lain seperti Martin Odegaard dan Gabriel Martinelli berpotensi melemahkan kekuatan skuad Arteta dalam pertembungan sengit ini.
Bekas penyerang England, Alan Shearer, mengakui kehilangan Gabriel merupakan kerugian besar buat Arsenal.
“Gabriel adalah pertahanan terbaik liga dan sumbangannya sangat besar, bukan sahaja dalam bertahan malah juga dalam situasi bola mati,” katanya.
Sebagai pengganti, Arsenal dijangka menurunkan pemain antarabangsa Ecuador, Piero Hincapie atau Cristhian Mosquera dari Sepanyol, dengan Riccardo Calafiori turut berpotensi beralih posisi jika cergas.
Tottenham, di bawah pengurus baharu Thomas Frank, kini berada di tangga kelima liga dan terus memberi tekanan hebat di tempat lawan. – AGENSI/UTUSAN










