Amanah penjawat awam martabatkan bahasa Melayu

Amanah penjawat awam martabatkan bahasa Melayu

SEMUA penjawat awam tanpa mengira pangkat wajib menggunakan bahasa Melayu pada setiap masa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGELUARAN Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian P.O.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam pada penghujung Oktober 2025 bukan sahaja perlu dilihat sebagai peringatan tegas tetapi dianggap sebagai amanah wajib yang harus dilangsaikan.

Sehubungan dengan peringatan tersebut, pekeliling itu merupakan amaran keras yang menuntut tindakan konkrit dan serius. Pada masa sama, sebagai amanah, ia adalah kepercayaan yang mesti dipikul dengan penuh kejujuran.

Sebenarnya, pekeliling seperti ini yang bertujuan memastikan kemantapan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam sudah banyak kali dikeluarkan.

Pekeliling terbaharu ini merupakan kesinambungan kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 mengenai Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

Pekeliling 2020 ini pula adalah lanjutan kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 mengenai Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

Manakala Pekeliling 2011 ini adalah lanjutan daripada Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 berkenaan Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

Kesemua pekeliling ini bertujuan untuk memastikan bahasa Melayu diperkukuh sebagai bahasa negara, selaku bahasa rasmi dalam pelbagai cabang dalam pentadbiran negara.

Di Malaysia perkhidmatan awam termaktub pada Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan. Ia terdiri daripada pekerjaan dalam kerajaan Persekutuan dan negeri, pekerjaan awam bersama, yakni dalam kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri, pekerjaan kehakiman dan perundangan untuk kerajaan, pekerjaaan dalam pendidikan yang dikendalikan pemerintah, pasukan polis, angkatan tentera serta pekerjaan dalam badan berkanun serta kerajaan tempatan.

Dalam pada ini, kewujudan perkhidmatan awam adalah untuk melaksanakan dasar kerajaan, berbakti kepada rakyat, selain memastikan kelancaran dan kesinambungan pentadbiran dalam memerintah negara.

Untuk melakukan semua ini, bahasa Melayu bukan sahaja dipilih, juga diamanatkan sebagai bahasa rasmi negara. Dengan ini, ia adalah bahasa yang wajib digunakan oleh kerajaan bagi tujuan pemerintahan. Antaranya untuk mentadbir negara.

Ini dapat dilihat pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan bahasa Melayu wajib digunakan untuk tujuan rasmi negara.

Sehubungan itu, tujuan rasmi merujuk sebarang urusan kerajaan, sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri, termasuk apa-apa urusan sedemikian yang melibatkan pihak berkuasa awam.

Dengan ini, kesemua urusan harian setiap agensi kerajaan dalam mentadbir negara wajib menggunakan bahasa Melayu seperti yang ditetapkan itu.

Dengan ini, semua kementerian, jabatan kerajaan di peringkat persekutuan, wilayah, negeri atau daerah di Malaysia, tidak terkecuali dalam penggunaan bahasa Melayu. Begitu jugalah halnya dengan mana-mana entiti lain dalam perkhidmatan awam di negara ini.

Untuk ini, kesemua pekeliling itu menggariskan peraturan untuk dipatuhi. Antaranya untuk urusan rasmi dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia, hanya bahasa Melayu boleh digunakan.

Ia antaranya hendaklah digunakan untuk tujuan surat-menyurat, dokumen perjanjian, ehwal mesyuarat dan penganjuran majlis.

Untuk urusan rasmi antarabangsa yang melibatkan bukan warganegara Malaysia, penggunaan bahasa Inggeris dalam peranannya sebagai bahasa antarabangsa dibenarkan.

Dengan ini, ia boleh digunakan untuk tujuan surat-menyurat, dokumen perjanjian, ehwal mesyuarat dan penganjuran majlis.

Sehubungan urusan rasmi antarabangsa ini, penggunaan bahasa Melayu digalakkan. Antaranya sebagai terjemahan selain pencerminan jati diri kebangsaan, iaitu sebagai identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.

Sebagai identiti nasional, penggunaan bahasa Melayu memperlihat kedaulatan negara dalam konteks nama Malaysia yang merupakan bumi Melayu.

Ini penting sebagai identifikasi absah di peringkat antarabangsa, di samping selaku unsur utama bagi mengidentifikasi Malaysia dalam konteks perundangan antarabangsa.

Manakala selaku identiti budaya, penggunaan bahasa Melayu memperlihat rakyat berkongsi bahasa yang sama, selain warisan dan tradisi.

Dengan perkongsian budaya ini, rasa keterikatan sesama rakyat dan lebih penting lagi kepada negara tercinta ini, wujud dengan mendalamnya.

KEWAJIBAN

Bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam dapat dilaksanakan dengan berkesan, semua penjawat awam tanpa mengira pangkat wajib menggunakan bahasa Melayu pada setiap masa.

Penggunaannya pula hendaklah baik, betul dan sopan dalam semua urusan rasmi, sama ada secara lisan yang bersifat spontan ataupun dalam bentuk tulisan yang telah melalui proses suntingan.

Dengan ini, semua penjawat awam hendaklah mempunyai pengetahuan baik tentang bahasa Melayu untuk memiliki kemahiran tinggi.

Oleh itu, mereka harus menguasai sebutan, ejaan, kosa kata, istilah dan nahu bahasa Melayu untuk memperlihat penggunaan bahasa Melayu yang bestari.

Jauh lebih daripada penguasaan semua ini ialah aspirasi penggunaan bahasa Melayu dari segi kualiti dan kuantiti pada setiap penjawat awam.

Dalam hal ini, selain ketua jabatan yang dipertanggungjawabkan melalui semua pekeliling tersebut, anggota pentadbiran iaitu menteri dan timbalannya juga hendaklah turut sama menggalas amanah ini.

Dengan ini, kursus dan latihan hendaklah diadakan dari semasa ke semasa untuk memantapkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam.

Walaupun tersirat apa yang boleh disifatkan sebagai peringatan tegas dan amaran keras pada Pekeliling 2025 itu, sebenarnya penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, termaktub pada Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Bahagian Dua).

Oleh itu, penggunaannya bersifat berperlembagaan, yakni wajib dari segi Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia, selain berkanun, iaitu wajib dari sisi perundangan yang mengikat.

Dengan ini, bahasa Melayu wajib digunakan sepenuhnya dalam skop yang ditetapkan, iaitu bagi tujuan rasmi negara yang dilaksanakan sebagai perkhidmatan awam.

Ironinya, dalam menjalankan amanah melaksanakan setiap dasar negara, perkhidmatan awam di Malaysia didapati lalai dalam memastikan dasar bahasa khususnya penggunaan bahasa Melayu dijalankan dengan jayanya.

Bagaimanapun, dengan pengeluaran Pekeliling 2025, ia seumpama kembali ke pangkal jalan selepas sesat di hujung jalan.

Justeru, setelah sedar akan kesilapan yang telah dilakukan, adalah wajar kita mengambil langkah yang sepatutnya.

Seperkara yang sangat penting di sini ialah jangan sampai ia menjadi seperti ‘asal ayam pulang ke lumbung’, iaitu kembali ke tabiat lama selepas usaha yang dilakukan hanya sementara dan tidak berpanjangan.-UTUSAN

 

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×