Tang Jie-Ee Wei ke pusingan kedua Terbuka Perancis

Tang Jie-Ee Wei ke pusingan kedua Terbuka Perancis

Chen Tang Jie- Toh Ee Wei kandas di suku akhir pada Kejohanan Badminton Asia (BAC).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran No. 3 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke peringkat 16 terbaik selepas mengetepikan wakil Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Cesson-Sevigne, hari ini.

Juara dunia itu menewaskan beregu yang menghuni ranking ke-16 dunia 16-21, 21-16, 21-12 dalam masa 46 minit di Glaz Arena.

Pada peringkat seterusnya, Tang Jie-Ee Wei bakal berdepan satu lagi beregu Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Gonzalez Chan, esok.

Tang Jie berkata, dia dan Ee Wei bermula dengan agak perlahan dan faktor tersebut menjadi punca lawan memanfaatkan kesempatan ke atas mereka.

“Rentak kami mungkin agak perlahan dan lawan ada peluang untuk serang balas, kami pula tak cukup sabar,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.

Satu lagi wakil Malaysia dalam aksi beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut dipaksa bermain dalam tiga set sebelum meraih kemenangan ke atas Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah dari Indonesia 15-21, 21-17, 21-17 dalam masa 59 minit.

Pasangan suami isteri yang berada di ranking No. 9 dunia itu akan menghitung pertemuan dengan Alexander Dunn-Julie MacPherson dari Scotland pada peringkat 16 terbaik.

Turut mara ke pusingan kedua, beregu lelaki No. 19 dunia, Arif Junaidi-Yap Roy King yang melakar kemenangan straight set ke atas beregu tuan rumah, Eloi Adam-Leo Rossi 21-19, 21-17 dalam masa 48 minit.

Arif-Roy King dijangka bertemu sama ada beregu No. 6 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China ataupun rakan senegara mereka, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han.

Sementara itu, dalam saingan beregu wanita, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing menarik diri daripada Terbuka Perancis, manakala, pasangan muda, Ong Xin Yee-Carmen Ting tumpas kepada gandingan tuan rumah, Margot Lambert-Camille Pognante 21-16, 14-21, 17-21 dalam masa 1 jam 6 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN