GELOMBANG kecerdasan buatan (AI) kini mencabar cara manusia memahami ilmu dan membentuk pemikiran.
Di Malaysia, cabaran ini perlu ditangani bukan sekadar dengan kehebatan teknologi tetapi dengan kekuatan nilai, etika dan falsafah pendidikan yang berpaksikan insan.
Reformasi pendidikan tinggi menjadi kunci utama bagi memastikan AI menjadi alat memperkasa manusia, bukan menggantikan manusia.
PEMBENTUKAN PEMIKIRAN
Kemunculan teknologi generatif AI menjadikan proses mendapatkan data dan maklumat semakin pantas. Namun, di sebalik kepantasan itu tersembunyi cabaran besar terhadap kebenaran dan makna ilmu.
AI mampu menghasilkan teks yang kelihatan logik tetapi tidak difahami maknanya. Inilah yang membawa kepada tiga cabaran utama iaitu kekosongan makna, kehilangan kebijaksanaan kontekstual dan sekularisasi ilmu.
AI bekerja berasaskan algoritma dan data tanpa pengalaman hidup atau kesedaran moral. Maka, ilmu yang dihasilkannya tidak berakar pada makna dan nilai.
Graduan yang terlalu bergantung pada AI mungkin menghasilkan kerja yang ‘cerdas’ di permukaan tetapi kosong daripada segi refleksi dan pemahaman. Mereka tahu apa yang perlu dibuat, namun tidak memahami mengapa ia dilakukan.
Kebijaksanaan manusia lahir daripada pengalaman, hujah dan interaksi. Ia membentuk kematangan dalam membuat keputusan, berfikir secara kontekstual dan menilai dengan adab.
Jika pelajar bergantung sepenuhnya kepada AI, mereka akan kehilangan intuisi dan kebijaksanaan praktikal yang penting bagi kepimpinan dan inovasi.
Kebergantungan melampau kepada mesin akhirnya mengikis keupayaan manusia berfikir secara mendalam.
Daripada perspektif Timur, seperti yang diutarakan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, cabaran AI ialah nilai dan kecerdasan tabii (natural intelligence). AI moden dibina berasaskan pandangan dunia sekular dan materialistik Barat yang mengabaikan dimensi spiritual.
Jika Malaysia menerima pakai teknologi ini tanpa penapisan nilai, pendidikan kita akan kehilangan roh tauhid, lalu mencipta generasi berteknologi tinggi tetapi miskin akhlak dan keadilan.
Krisis moral ini sudah kelihatan dalam isu privasi data, diskriminasi algoritma dan penghakisan maruah manusia.
PEMERKASAAN EKOSISTEM PENDIDIKAN
Menghadapi cabaran ini memerlukan reformasi menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan negara. Fokus utamanya adalah membentuk insan madani iaitu insan yang seimbang antara akal, adab dan iman. Empat langkah utama perlu digerakkan ialah literasi AI, kurikulum seimbang, pemerkasaan kemahiran berfikir dan penerapan nilai etika AI.
Pertama, literasi AI mesti diperluas dari sekolah hingga universiti. Masyarakat perlu memahami asas aplikasi dan implikasi AI agar mereka mampu menggunakan teknologi ini secara bijaksana.
Kursus AI harus disusun mengikut tahap iaitu rendah, pertengahan dan tinggi supaya pelajar bukan sahaja tahu menggunakan AI tetapi mampu mencipta inovasi yang membawa kebaikan.
Kedua, kurikulum perlu beralih daripada menilai hafalan kepada menilai kreativiti, sintesis idea dan kebijaksanaan etika.
Kaedah pembelajaran berasaskan projek dan masalah perlu diperluas agar pelajar menggunakan AI sebagai alat bantu berfikir, bukan pengganti pemikiran.
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) harus dinilai melalui situasi sebenar yang menuntut pelajar menimbang konteks, nilai dan implikasi.
Ketiga, di peringkat pendidikan tinggi, silibus perlu mencabar pelajar dengan masalah kompleks yang mengandungi dilema nilai dan kemanusiaan. Ini mendidik mereka menilai maklumat secara kritikal dan mengekalkan keseimbangan antara teknologi dan kebijaksanaan.
AI perlu diajar sebagai alat yang membantu manusia berfikir, bukan menggantikan fungsi fikir itu sendiri.
Keempat, kursus etika AI wajar diwajibkan. Nilai Malaysia Madani harus dijadikan asas untuk menilai keadilan algoritma, ketidakadilan teknologi dan tanggungjawab sosial pembangun AI.
Para ilmuwan juga harus mula merangka kerangka Fiqh Algoritma iaitu prinsip panduan berasaskan maslahah dan keadilan Islam dalam pembangunan AI agar teknologi kekal berpihak kepada kemanusiaan.
USAHA RINTIS
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul sebagai perintis yang mendepani cabaran ini. Melalui penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (Fakulti AI), UTM bukan sahaja membangunkan pakar teknikal tetapi juga pemikir kritikal yang beretika.
Kurikulum UTM menekankan integrasi antara ilmu, nilai dan etika agar graduan bukan sekadar bijak menggunakan teknologi tetapi juga memahami tanggungjawab moral di sebaliknya.
UTM turut memberi ruang kepada pelajar mencipta inovasi AI untuk manfaat masyarakat dan industri. Pendedahan kepada masalah sebenar mengajar mereka teknologi bukan sekadar alat ekonomi tetapi juga instrumen kebajikan dan keadilan sosial.
Pendekatan ini seiring dengan prinsip Malaysia Madani yang menekankan daya cipta dan kemaslahatan sejagat.
Selain mengajar asas teknikal seperti pembelajaran mesin dan pembelajaran mendalam, UTM juga menekankan kursus Etika dan Tadbir Urus AI. Fakulti ini berperanan sebagai hab pendidikan dan penyelidikan AI, menghubungkan universiti dengan industri dalam bidang strategik seperti pertanian pintar, penjagaan kesihatan dan urus tadbir digital.
Melalui kerjasama ini, kurikulum sentiasa relevan dan graduan dipersiapkan bukan sahaja dengan kecerdasan intelek (IQ) tetapi juga kecerdasan emosi dan spiritual (EQ dan SQ).
Langkah UTM ini menandakan satu perubahan paradigma dalam pendidikan tinggi daripada melahirkan ‘jurutera mesin’ kepada melahirkan ‘jurutera kemanusiaan’.
Graduan UTM diharap bukan sahaja bijak mencipta teknologi tetapi juga bijak menimbang makna, nilai dan tujuan teknologi itu sendiri.
Dengan ini, AI bukan lagi ancaman tetapi pelengkap kepada pemikiran insan yang beradab dan berakhlak.
INSAN MADANI
Cabaran AI bukan sekadar isu teknikal tetapi cabaran falsafah dan kemanusiaan. Ia menuntut reformasi keilmuan yang menyatukan kognitif, etika dan spiritual.
Malaysia memerlukan pendekatan holistik yang menjadikan manusia sebagai pusat pembangunan teknologi.
Usaha kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menubuhkan Fakulti AI di UTM merupakan langkah strategik dan berpandangan jauh. Namun, kejayaan sebenar bergantung kepada seluruh sistem pendidikan tinggi untuk memupuk pemikiran AI yang beretika, reflektif dan berasaskan nilai.
Hanya dengan mengukuhkan akal, intuisi, kebijaksanaan dan kompas moral, barulah Malaysia mampu melahirkan graduan Insan Madani, iaitu manusia yang bukan sahaja menguasai AI tetapi juga mengarahkannya untuk membawa rahmat kepada sekalian alam.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan profesor bidang Kecerdasan Buatan (AI).










