KEMAMAN: Hajat pelumba berpengalaman Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil untuk menamatkan penantian podium di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 tidak kesampaian apabila sekadar menutup perlumbaan Peringkat 4 semalam di tangga ketujuh.
Ia mengulangi skrip sama seperti Peringkat 2 dari Padang Besar ke Kepala Batas, Isnin lalu, selain pernah mencatat kedudukan sama di Kuah, Langkawi pada edisi 2024.
Pelumba berusia 30 tahun itu masih gagal menamatkan perlumbaan dalam kelompok lima terbaik sejak kali terakhir berada di kedudukan keempat pada Peringkat 1 LTdL 2023 dan kelima di Peringkat 8, Setia Alam ke Kuala Lumpur pada tahun sama.
Bagaimanapun, ada sedikit penawar buat Izzat apabila dinobatkan Pelumba Asia dan ASEAN Terbaik pada perlumbaan peringkat keempat yang berakhir penuh dramatik di Kemaman.
“Syukur Alhamdulillah, walaupun penamatnya kurang memuaskan, saya tetap bersyukur kerana dapat gelaran Pelumba Asia dan ASEAN terbaik.
“Baki kilometer terakhir cukup mencabar dengan dua selekoh merbahaya. Saya cuba kekal dalam kelompok hadapan, akhirnya hanya mampu tempat ketujuh,” katanya yang mengakui podium sebenarnya menjadi sasaran utama.
Lebih manis, rakan sepasukannya Ahmad Syazrin Awang Ilah turut menampilkan kayuhan bertenaga apabila menutup perlumbaan di tempat ke-11, sekali gus muncul pelumba Asia kedua terbaik pada peringkat ini.
Sementara itu, perlumbaan Peringkat 5 hari ini bakal menjadi medan lebih getir buat peloton dengan laluan sejauh 123.1 kilometer dari Temerloh ke Fraser’s Hill.
Trek itu menampilkan tiga zon pecutan di Mentakab, Bukit Damar dan Mempaga, selain dua pendakian utama di Raub dan Bukit Fraser yang dijangka menguji daya tahan setiap pelumba. – UTUSAN










