LONDON: Pengendali Liverpool, Arne Slot menarik nafas lega selepas mengesahkan dua tonggak utamanya, Ryan Gravenberch dan Ibrahima Konate, semakin pulih menjelang pertembungan getir menentang Manchester United di Anfield, esok.
Slot menegaskan, kecederaan kedua-dua pemain berkenaan tidak serius seperti yang dibimbangi penyokong The Reds sebelum ini.
“Ryan kini benar-benar cergas. Kami masih ada dua sesi latihan lagi, tetapi jika anda tanya saya sekarang, dia sudah bersedia sepenuhnya,” kata Slot pada sidang media praperlawanan.
Konate pula dijangka kembali ke padang latihan selepas diketepikan ketika aksi antarabangsa bersama Perancis akibat kecederaan otot paha.
Pemain pertahanan itu sebelum ini terpaksa dikeluarkan ketika kekalahan Liverpool di tangan Chelsea sebelum rehat antarabangsa, namun Slot optimis dia mampu disenaraikan semula menentang United.
Liverpool ketika ini sedang berusaha bangkit selepas tewas dua perlawanan berturut-turut kepada Crystal Palace dan Chelsea, sekali gus tergelincir daripada kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dalam masa sama, penjaga gol utama Alisson Becker disahkan masih belum pulih daripada kecederaan hamstring dan dijangka berehat hingga pertengahan November.
Pertemuan menentang United di Anfield pastinya sarat dengan emosi dan maruah, lebih-lebih lagi apabila skuad lawan itu belum pernah meraih kemenangan di gelanggang keramat Liverpool sejak 2016.
Slot pastinya mengharapkan kepulangan Gravenberch dan Konate dapat memberi suntikan semangat baharu untuk menamatkan kemarau kemenangan dan mengembalikan aura Anfield sebagai benteng kebal The Reds. – AGENSI/UTUSAN









