Kemenangan indah di hari lahir

Kemenangan indah di hari lahir

Aira Azman mengiringi S. Sivasangari ke suku akhir Kejohanan Skuasy Klasik Qatar di Doha, Qatar, kelmarin. - FB PSA Squash
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain muda negara, Aira Azman melakar kenangan manis pada hari lahirnya selepas buat kali pertama mara ke suku akhir dalam pertandingan berstatus Platinum pada Kejohanan Skuasy Klasik Qatar di Doha, Qatar.

Genap berusia 21 tahun, Aira yang menghuni ranking ke-26 dunia menewaskan wakil Mesir, Zeina Mickawy 11-8, 11-7, 13-11 dalam masa 29 minit pada pusingan kedua di Kompleks Skuasy & Tenis Khalifa.

Dia bakal berdepan laluan yang lebih getir pada suku akhir apabila bertemu seteru lamanya di kejohanan peringkat remaja, Amina Orfi dari Mesir yang kini merupakan bintang No. 5 dunia.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai kejohanan ini dan kali pertama juga layak ke suku akhir pada kejohanan bertaraf Platinum, jadi, ia merupakan mata (ranking) yang besar untuk saya, keyakinan saya kini semakin meningkat,” kata Aira sewaktu ditemu bual selepas perlawanan.

Aira berkata, apa yang menjadikannya lebih gembira, kejayaan itu diraih pada hari jadinya dan dia pula berjaya mengikut perancangan yang telah diatur dalam dua set pertama.

“Saya bermain dengan cukup baik, cuma saya sedikit hilang fokus dalam set berikut yang membuka ruang kepada lawan untuk bangkit, tetapi, mujur saya berjaya mendapatkan rentak kembali dan memenangi pertemuan ini dalam tiga set,” katanya.

Sementara itu, turut megikut jejak langkah Aira ke suku akhir ialah bintang No. 7 dunia, S. Sivasangari yang mengetepikan pemain ke-11 dunia, Nele Gilis dari Belgium 11-8, 11-5, 11-5 dalam masa 34 minit.

Ini merupakan kali pertama sejak Terbuka Britain, dua pemain wanita Malaysia mara ke suku akhir pada kejohanan utama Jelajah PSA, selepas juara dunia lapan kali, Datuk Nicol David dan bekas pemain No. 12 dunia, Delia Arnold berbuat demikian sedekad yang lalu.

Pada suku akhir, Sivasangari akan berdepan jaguh No. 2 dunia, Hania El Hammamy dan yang menjadi persoalan kini mampukah anak jati Sungai Petani, Kedah itu mengulangi kecemerlangan mengejutkan bintang Mesir tersebut seperti yang dilakukannya pada final Kejohanan Klasik London, tahun lepas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN