KEBELAKANGAN ini, banyak kes keganasan yang melibatkan kematian dilaporkan media massa.
Fenomena ini merangkumi pelbagai bentuk daripada keganasan domestik yang berlaku dalam rumah tangga, hinggalah kepada keganasan berskala besar di peringkat antarabangsa yang meragut ribuan nyawa.
Setiap bentuk keganasan ini membawa ketidakadilan dan penderitaan yang mendalam, bukan sahaja kepada mangsa, malah juga kepada keluarga, masyarakat, serta negara secara keseluruhannya.
Di Malaysia, keganasan domestik dan berasaskan gender merupakan antara isu yang semakin membimbangkan. Walaupun isu keganasan global seperti konflik bersenjata di Palestin sering mendapat tumpuan media, hakikatnya keganasan di dalam negara sendiri tidak boleh dipandang ringan.
Jika dibiarkan berterusan, ia boleh melahirkan generasi yang trauma, terpinggir dan kehilangan keyakinan terhadap sistem keadilan sosial.
Antara bentuk keganasan paling ketara ialah keganasan rumah tangga. Statistik menunjukkan hampir setiap hari terdapat laporan polis berkaitan kes sebegini. Keganasan terhadap pasangan sering berlaku dalam bentuk fizikal, mental, emosi mahupun ekonomi.
Trend peningkatan kes saban tahun membuktikan isu ini belum menemui penyelesaian tuntas walaupun sudah banyak kempen kesedaran dijalankan.
Selain itu, keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak juga masih merupakan masalah utama. Menurut dapatan UN Women, sekitar satu daripada tiga wanita di Malaysia mengalami keganasan fizikal atau seksual sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.
Angka ini amat membimbangkan kerana ia menggambarkan tahap keselamatan wanita di ruang awam mahupun di rumah masih rendah.
Kanak-kanak pula sering menjadi mangsa penderaan fizikal, seksual dan emosi. Kes penderaan kanak-kanak yang tular di media sosial menunjukkan masih wujud pihak tidak bertanggungjawab yang memperlakukan golongan kecil ini dengan kejam.
Keganasan terhadap kanak-kanak bukan sahaja menjejaskan tumbesaran fizikal malah memberi kesan psikologi yang mendalam sehingga dewasa.
Keganasan membawa kesan jangka panjang yang amat besar. Dari sudut psikologi, mangsa lazimnya mengalami trauma mendalam, gangguan kebimbangan, kemurungan dan masalah kesihatan mental lain.
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mangsa keganasan cenderung menghadapi risiko gangguan tidur, masalah keyakinan diri dan sukar membina hubungan sosial yang sihat.
Kesan keganasan juga melangkaui aspek peribadi dan psikologi. Dari sudut ekonomi, keganasan menelan kos yang sangat tinggi. Negara perlu menyediakan dana besar bagi rawatan kesihatan, sokongan sosial, tempat perlindungan mangsa serta penguatkuasaan undang-undang.
Bank Dunia melaporkan keganasan domestik dan berasaskan gender berpotensi menelan kos lebih 1.5 trilion dolar setiap tahun di peringkat global. Ini bersamaan kira-kira 2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.
Kos ini bukan sahaja membebankan kerajaan, malah menjejaskan produktiviti ekonomi apabila mangsa kehilangan keupayaan untuk bekerja atau menyumbang kepada pembangunan negara.
Selain itu, keganasan juga mengganggu kesejahteraan sosial. Masyarakat yang dibelenggu keganasan akan hilang rasa percaya antara satu sama lain. Kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran ganas berisiko mengulangi kitaran tersebut pada masa hadapan. Hal ini boleh melahirkan masyarakat yang normalisasi terhadap keganasan, sekali gus merosakkan nilai kemanusiaan dan budaya saling menghormati.
BENDUNG KEGANASAN
Untuk menangani isu keganasan dengan berkesan, ia memerlukan kerjasama menyeluruh daripada kerajaan, pihak berkuasa, masyarakat dan individu. Setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan agar usaha membanteras keganasan bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa semata-mata.
Dari sudut undang-undang, penguatkuasaan yang lebih ketat amat penting. Akta berkaitan keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak dan jenayah seksual perlu diperketatkan, dengan hukuman yang tegas sebagai pengajaran kepada pelaku. Namun undang-undang sahaja tidak mencukupi jika tiada pemantauan berterusan atau saluran aduan yang selamat untuk mangsa.
Selain itu, pendidikan dan kesedaran masyarakat juga perlu dipertingkatkan. Program pendidikan mengenai kesamarataan gender, hak asasi manusia, serta cara penyelesaian konflik tanpa keganasan perlu diperluaskan. Pendidikan awal di sekolah boleh membantu kanak-kanak memahami kepentingan menghormati orang lain dan menolak budaya ganas.
Dalam konteks sokongan kepada mangsa, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu menyediakan lebih banyak tempat perlindungan, talian bantuan dan perkhidmatan sokongan psikologi.
Talian Kasih 15999 misalnya, wajar dipromosikan dengan lebih meluas di media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook agar mudah diakses, terutama oleh golongan muda. Kesedaran mengenai kewujudan saluran bantuan ini boleh menyelamatkan banyak nyawa.
Media massa dan platform digital juga memikul tanggungjawab besar. Liputan yang beretika, berfakta dan tidak sensasi terhadap kes keganasan penting bagi mendidik masyarakat. Pada masa sama, media boleh menjadi medium kempen kesedaran berterusan.
Menghentikan keganasan bukan sekadar menahan atau menghukum pelaku tetapi lebih kepada membangunkan masyarakat yang adil, berempati dan bertanggungjawab.
Pendidikan, sokongan, penguatkuasaan undang-undang dan pembudayaan nilai hormat-menghormati perlu digabungkan sebagai satu strategi holistik.
Malaysia perlu menekankan isu keganasan bukan masalah peribadi mangsa semata-mata tetapi merupakan isu sosial yang melibatkan semua pihak. Jika keganasan dibiarkan tanpa kawalan, ia akan merosakkan keharmonian, melemahkan struktur keluarga dan akhirnya mengganggu pembangunan negara.
Kesimpulannya, keganasan dalam pelbagai bentuk sama ada domestik, berasaskan gender atau berskala antarabangsa yang membawa kesan mendalam terhadap individu, masyarakat dan negara. Ia menjejaskan kesihatan mental, kesejahteraan sosial serta memberi implikasi ekonomi yang besar.
Membendung keganasan memerlukan tindakan kolektif meliputi undang-undang ketat, pendidikan kesedaran, penguatkuasaan berkesan, media beretika serta sistem sokongan mangsa yang menyeluruh.
Jika semua pihak berganding bahu, Malaysia berpeluang melahirkan masyarakat lebih selamat, berdaya tahan dan bebas daripada budaya ganas.
Hanya dengan itu, keamanan sejati dapat direalisasikan dan masa depan negara lebih terjamin.-UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, Kampus Raub.










