‘Kami akan terus berjuang demi negara’

‘Kami akan terus berjuang demi negara’

FAISAL HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Di sebalik kemelut yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan hukuman yang dijatuhkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), pemain sayap negara, Faisal Halim menegaskan skuad Harimau Malaya akan kekal bersatu dan fokus dalam misi mengharumkan nama Malaysia.

Pemain berusia 27 tahun itu menegaskan, barisan pemain tidak akan terganggu dengan isu luar padang menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini.

“Perkara itu di luar kawalan dan bidang kuasa kami. Sebagai pemain, tanggungjawab kami adalah di atas padang.

“Sebagai pemain kami sentiasa bersedia dalam apa sahaja situasi. Sesiapa yang diberikan peluang harus galas tanggungjawab itu sebaik mungkin dalam berusaha mengharumkan nama negara,” kata Faisal.

Terdahulu, FIFA menjatuhkan hukuman kepada FAM dan tujuh pemain warisan susulan didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu dalam urusan rasmi.

Dalam pada itu, perjalanan karier Faisal bersama skuad negara dianggap luar biasa selepas bangkit semula daripada insiden serangan asid yang menimpanya tahun lalu.

Bintang Selangor itu turut meledak satu gol ketika Malaysia menewaskan Laos 3-0 di Vientiane minggu lalu, sekali gus menamatkan kemarau jaringan peribadinya selama 623 hari bersama skuad kebangsaan.

“Selepas hampir dua tahun tidak menjaringkan gol untuk negara, saya akhirnya kembali menemui sentuhan itu.

“Saya amat gembira dan berterima kasih kepada jurulatih yang memberi peluang, serta rakan sepasukan yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan. Ini bukan pengakhiran, sebaliknya permulaan baharu untuk saya bersama pasukan kebangsaan,” ujarnya.

Faisal turut menyeru sokongan pemain ke-12 memenuhi stadium malam ini, untuk bersama-sama pasukan negara mengharungi perlawanan berdepan Laos.

“Saya harap semua penyokong datang ke stadium kami perlukan pemain ke-12, kita nak lihat suasana seperti mana ketika pasukan negara layak ke Piala Asia. Ayuh meriahkan SNBJ dengan kehadiran anda (penyokong),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN