KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya kini berada pada tahap prestasi terbaik menjelang aksi menentang Laos dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini.
Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui, corak permainan menyerang yang ditampilkan skuad kebangsaan semakin mantap dari satu perlawanan ke satu perlawanan, namun masih perlu dipertajamkan terutama dalam menyempurnakan peluang di hadapan pintu gol.
“Ya, jelas sekali kami bermain dengan baik dan berjaya menjaringkan gol dalam banyak perlawanan. Serangan kami semakin berbahaya dan seperti aksi sebelum ini, kami sebenarnya boleh menjaringkan lebih banyak gol.
“Kami sedar itu (sentuhan penyudah) antara aspek penting yang perlu diperbaiki,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan di SNBJ, semalam.
Menurut Cklamovski, fokus utama pasukannya kini adalah memastikan setiap peluang yang terhidang dapat dimanfaatkan sepenuhnya sambil mengekalkan prestasi menyeluruh pasukan.
“Kami sedang berusaha memperbaiki ketajaman di kawasan serangan dan mahu lebih berkesan setiap kali melakukan gerakan berbahaya namun yang paling utama, kami mahu mengekalkan semangat berpasukan,” ujarnya.
Cklamovski turut menzahirkan keyakinan bahawa anak buahnya mampu menghadiahkan aksi terbaik bagi menggembirakan ribuan penyokong setia yang dijangka membanjiri SNBJ.
Terdahulu, Malaysia menewaskan Laos 3-0 dalam perlawanan ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Vientiane, Khamis lalu, dan kemenangan itu mengekalkan rekod bersih tiga perlawanan tanpa kalah buat Harimau Malaya.
Kejayaan itu juga mengekalkan dominasi Malaysia ke atas Laos dengan rekod 14 kemenangan daripada 20 pertemuan sejak 1968, dengan satu-satunya kekalahan dicatat pada temasya Sukan SEA Jakarta 1997 dengan keputusan 1-0. – UTUSAN










