PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diminta memberi penjelasan kepada ahli gabungan berhubung kesilapan teknikal badan induk itu yang mengundang tindakan Persekutuan Bolasepak Antabangsa (FIFA) terhadap skuad kebangsaan.
Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar berkata, dokumen yang didakwa silap atau terlepas seharusnya diberi penjelasan oleh FAM kepada semua ahli gabungan FAM bagi mengelak persepsi tidak tepat terhadap badan induk itu.
“Kita hanya tahu (tentang kesilapan FAM) daripada laporan-laporan media mahupun kenyataan media yang dikeluarkan FAM sahaja. Lebih daripada itu, saya fikir tak tahu apa yang berlaku sedangkan kita adalah ahli gabungan FAM.
“Kenyataan FAM yang mengatakan kesilapan berpunca daripada kakitangan sekretariat FAM, jadi secara logiknya kami kena tahu apa yang berlaku dan siapa kakitangan yang menghantar dokumen itu kepada pihak FIFA.
“Isu ini bukan lagi bersifat dalaman atau rahsia, tetapi ia dah jadi isu nasional. Malah ia juga jadi perhatian di peringkat antarabangsa. Lebih kurang 11 FA ada hubungi saya, dan kami harap perkara ini diselesaikan segera,” kata Syed Yazid.
Isu berkenaan tercetus selepas FAM sendiri mengakui berlaku kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen pemain warisan kepada FIFA sehingga mengakibatkan tindakan penggantungan terhadap beberapa pemain utama negara.
Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia menegaskan kelab terbabit kecewa dengan kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen oleh FAM yang menyebabkan tiga pemain skuad kebangsaan yang beraksi bersama JDT digantung.
Pemain yang digantung itu adalah Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang beraksi untuk JDT manakala empat lagi ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
Sementara itu, desakan ketika ini semakin kuat di media sosial yang meminta FAM mendedahkan susur galur pemain warisan bagi membuktikan mereka layak beraksi untuk skuad kebangsaan.
Rata-rata peminat meminta FAM lebih telus selepas FIFA menggantung tujuh pemain warisan negara sehingga menjejaskan peluang Malaysia ke Piala Asia 2027 selain masa depan pemain turut berdepan risiko. – UTUSAN










