FAM kemuka rayuan kepada FIFA

FAM kemuka rayuan kepada FIFA

YUSOFF MAHADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pihaknya telah mengemukakan rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman yang dikenakan badan induk dunia itu.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata, rayuan itu buat pada hari terakhir semalam, dengan semakan rapi terhadap dokumen telah dilakukan bagi mengelak sebarang masalah berbangkit tentang bukti-bukti yang telah dilampirkan.

“Rayuan ini tidak dibuat dengan ambil lewa atau terdesak, ia dibuat dengan teliti dan kemas untuk memastikan keputusan akhir nanti memihak kepada kita (Malaysia). Itu adalah sebabnya kita menghantar rayuan kepada FIFA.

“Rayuan ini dibuat dengan niat atau harapan supaya rayuan kita diterima dan akan memihak kepada kita, kalau kita fikir tiada harapan tak payahlah kita hantar, sekarang kita harap ia berpihak kepada kita,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Sebelum ini, FIFA mengeluarkan mengeluarkan surat alasan penghakiman setebal 19 muka surat berhubung hukuman yang dikenakan badan induk bola sepak dunia itu terhadap FAM dan juga tujuh pemain warisan negara.

Pada bulan lalu, FAM bersama tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen untuk membolehkan pemain beraksi mewakili Malaysia.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan.

Ditanya tentang barisan peguam yang mewakili Malaysia, Mohd Yusoff berkata, perkara itu diuruskan oleh pengurusan pasukan kebangsaan sebagai badan profesional.

“Peguam yang ‘prepare’ (dokumen) itu semua adalah peguam-peguam yang daripada luar, itu yang saya dimaklumkan kerana saya anggap ini adalah urusan pengurusan skuad kebangsaan.

“Pasukan ini yang mendapatkan peguam-peguam sebab mereka adalah pasukan professional. Jadi, tentu sekali mereka ada hubungan dengan banyak peguam yang bertaraf antarabangsa atau yang betul-betul faham bola sepak peringkat antarabangsa,” katanya.

Selepas tempoh rayuan, seluruh peminat bola sepak tempatan tertumpu kepada Jawatankuasa Disiplin FIFA sama ada menerima rayuan yang dikemukakan termasuk membatalkan hukuman atau mengurangkan denda yang dikenakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN