Dunia digital jerat baharu remaja

Dunia digital jerat baharu remaja

PENGARUH media sosial menjadi antara punca utama berlakunya buli, jenayah dan perubahan sikap dalam kalangan anak-anak serta remaja. –JANAAN AI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETERLIBATAN kanak-kanak dan remaja dalam salah laku berkaitan buli, seks dan jenayah bawah umur kini cenderung dilaporkan di media massa dan media sosial.

Secara kumulatif, laporan peratusan salah laku yang melibatkan kes keganasan seksual terhadap kanak kanak yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan kes berkaitan salah laku seksual sejak 2020 hingga 2024, dengan 6,462 kes.

Manakala salah laku berkaitan buli juga menunjukkan peningkatan kes seramai 5,703 pelajar yang terlibat buli pada 2024 berbanding 3,887 pelajar pada 2022.

Sungguhpun tersedia pelbagai garis paduan, modul dan tatakelola yang khusus bagi membendung kejadian seperti ini daripada berulang, namun rekod berkaitan data salah laku tetap meningkat.

Puncanya berakar umbi daripada pelbagai faktor antaranya seperti persekitaran keluarga, pengaruh rakan sebaya, dinamik dalam interaksi sosial remaja, kurang kesedaran kendiri, pengabaian daripada ibu bapa yang sibuk bekerja, pengaruh media sosial, permainan video dalam talian dan pelbagai lagi.

Kesan ketara yang dapat dilihat dalam kalangan anak-anak remaja kini apabila terlalu leka dengan permainan dalam talian bersama rakan-rakan maya yang mengakibatkan mereka hilang masa untuk diri sendiri dan keluarga.

Masa berkualiti yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga seperti menikmati sarapan atau makan malam, beriadah dan beribadah semakin terabai akibat ketagihan yang menyebabkan hilang selera makan, tidur tidak teratur, emosi tidak stabil, fikiran terganggu serta tingkah laku yang seolah-olah diprogram seperti robot.

Rutin harian yang terganggu akibat pengaruh tersebut bukan sahaja menjejaskan akademik dan hubungan dengan orang lain sebaliknya juga memberi kesan mendalam pembentukan sahsiah dan perkembangan psikologi.

Tanpa kita sedar, apa yang dinyatakan ini meninggalkan kesan buruk kepada remaja apabila mereka terlibat secara langsung dan tidak langsung.

Prevalen kepada kecelaruan psikologi akibat daripada hal tersebut mencatatkan rekod bagi kecelaruan psikologi seperti kemurungan, kerisauan dan tekanan melampau dalam kalangan remaja meningkat saban tahun.

PANTAU MEDIA SOSIAL

Pada minggu lalu, Jemaah Menteri membincangkan isu keselamatan di sekolah yang semakin membimbangkan, termasuk kes buli dan jenayah, serta mencadangkan tiga langkah segera bagi menanganinya.

Tiga langkah pencegahan utama diumumkan iaitu meningkatkan pemantauan keselamatan di sekolah, melarang penggunaan telefon pintar dan media sosial bagi pelajar berusia 16 tahun ke bawah. Selain itu memperkukuh kandungan pendidikan dengan penekanan terhadap nilai dan akhlak.

Langkah kedua yang dicadangkan kerajaan ialah meneliti had penggunaan media sosial bagi pelajar berusia bawah 16 tahun sungguh menarik. Cadangan ini lahir daripada kebimbangan terhadap pengaruh media sosial dan permainan dalam talian yang berpotensi menimbulkan tingkah laku negatif dalam kalangan remaja.

PEMPENGARUH LAWAN PEMPENGERUH

Umum ketahui, pempengaruh media sosial dilihat sebagai ikon, idola dan sumber rujukan utama bagi golongan remaja serta belia bermula dari peringkat sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Justeru, pempengaruh memegang tanggungjawab besar dalam membentuk pemikiran dan sikap pengikut mereka.

Golongan ini seharusnya berperanan sebagai pempengaruh yang menyebarkan nilai-nilai positif, bukannya menjadi pempengeruh yang menyumbang kepada penyebaran budaya atau tingkah laku yang tidak sihat.

Dengan kata lain, pengaruh mereka perlu dimanfaatkan untuk memperkasa akhlak, membina sahsiah dan menyemai rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan generasi muda.

Peranan pempengaruh dalam mendidik masyarakat sebenarnya amat besar, walaupun dilakukan secara tidak langsung dan bukan hanya keghairahan mengejar jumlah ‘suka’, pengikut dan kongsian semata-mata.

Oleh itu, setiap kandungan yang dikongsikan di media sosial perlulah bersifat membina dan memberi nilai positif. Hantaran yang baik bukan sahaja mendatangkan manfaat kepada masyarakat, malah mampu melahirkan impak yang positif serta memperkukuh tanggungjawab sosial dalam kalangan pengguna media sosial.

Golongan yang paling dekat dengan remaja dan belia ialah ibu bapa serta guru, namun dalam era digital kini, muncul pula kelompok ketiga yang turut mempunyai pengaruh besar terhadap mereka iaitu pempengaruh media sosial.

Amatlah baik sekiranya pempengaruh media sosial turut bersama-sama menunjukkan keprihatinan dan memainkan peranan dalam memulihkan tumpuan golongan remaja serta membentuk masyarakat yang berakhlak mulia dan berbudaya tinggi.

Usaha ini juga boleh menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dalam mengekang pelbagai permasalahan sosial.-UTUSAN

 

NUR Syuhada Mohd. Munir ialah Pensyarah (Kaunselor Berdaftar), Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Kulliyyah Pendidikan & Penolong Pengarah Kanan, Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

ROSLAN Rusly ialah Pegawai Perhubungan Media dan Awam, Pejabat Komunikasi Advokasi dan Promosi (OCAP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN