Apa yang buat Ronaldo jadi bilionair

Apa yang buat Ronaldo jadi bilionair

Cristiano Ronaldo
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LISBON: Cristiano Ronaldo menambah satu lagi pencapaian luar biasa dalam karier gemilangnya apabila diiktiraf sebagai pemain bola sepak pertama dunia bergelar bilionair.

Perkara itu diumumkan menerusi laporan agensi kewangan Bloomberg.

Bintang Portugal itu baru-baru ini menandatangani kontrak dua tahun bernilai 298 juta pound (RM1.77 bilion) bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr, yang akan membayar gaji bulanan sebanyak 12.5 juta pound (RM74.3 juta) kepadanya.

Jumlah itu sekali gus menjadikan Ronaldo pemain pertama mencapai status bilionair berdasarkan pendapatan keseluruhan daripada gaji, tajaan dan pelaburan sejak 2002 hingga 2023.

Gaji bulanannya di Al-Nassr melebihi pendapatan Lionel Messi sepanjang setahun di kelab Inter Miami di Amerika Syarikat, dan nilai bersihnya kini dilaporkan dua kali ganda berbanding bekas kapten England, David Beckham.

Selain gaji lumayan, pemain berusia 40 tahun itu juga meraih lebih 410 juta pound (RM2.44 bilion) hasil tajaan sepanjang dua dekad, termasuk kontrak bersama Nike bernilai 13.4 juta pound (RM79.7 juta) setahun.

Kontraknya bersama Al-Nassr turut merangkumi pelbagai kemudahan mewah termasuk dua tukang masak peribadi, tiga tukang kebun, empat pengawal keselamatan, jet peribadi dan tiga pemandu tetap.

Laporan turut mendedahkan legenda itu masih berjimat apabila dia dikatakan hanya membelanjakan sekitar 4 juta pound (RM23.8 juta) untuk cincin pertunangan 30 karat buat tunangnya, Georgina Rodriguez, jumlah yang hanya sepertiga daripada nilai sebulan gajinya.

Bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu dijangka beraksi bersama Portugal di Piala Dunia tahun depan ketika menginjak usia 42 tahun.

“Dalam hidup, saya tidak membuat rancangan jangka panjang. Saya lebih suka perancangan jangka pendek kerana ia memberi saya lebih tenaga dan semangat untuk terus hidup,” katanya.

Pendekatan itu membolehkan Ronaldo bukan sahaja kekal relevan dalam bola sepak, malah terus mengukuhkan empayar perniagaan dan jenamanya sebagai antara atlet terkaya sepanjang zaman. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN