KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia perlu mengembalikan semula peraturan mewajibkan pemain bawah 23 tahun beraksi dalam semua perlawanan anjuran badan itu sekali gus membuka ruang mereka mendapat minit permainan.
Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darulnaim (Kelate.Net) Mohd. Nurul Mohd. Yusoh berkata, langkah itu turut membantu proses kematangan agar mereka tidak gentar beraksi di pentas antarabangsa jika dipanggil membarisi skuad Harimau Muda nanti.
Menurutnya, peraturan itu telah dilaksanakan pada 2008 lalu dan mampu melahirkan ramai bakat muda sehingga merangkul emas dalam acara bola sepak Sukan SEA setahun kemudian.
“Pandangan saya tidak salah jika FAM, MFL kembali menghidupkan semula peraturan itu yang mampu memberikan manfaat besar kepada pembangunan di peringkat akar umbi.
“Malaysia tidak pernah ketandusan bakat baharu dalam bola sepak, lihat sahaja apa yang berlaku pada Arif Aiman Hanapi. Dia mendapat ruang dan menggunakannya dengan sebaik mungkin, akhirnya menjadi watak penting dalam skuad Harimau Malaya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mohd. Nurul memberitahu, langkah itu dilihat lebih jimat daripada pembentukan pasukan Harimau Muda sebagaimana yang dilakukan sebelum ini.
Katanya, beliau berharap barisan kejurulatihan dapat turun padang untuk menilai dan melihat sendiri kemampuan bakat-bakat muda jika peraturan itu diwujudkan semula.
“Masih belum terlambat untuk kita merombak semula pembangunan peringkat akar umbi.
“Saya yakin usaha ini merupakan salah satu solusi terbaik untuk memastikan Malaysia tidak ketandusan bakat dalam sukan bola sepak,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pembangunan akar umbi bola sepak negara memerlukan reformasi menyeluruh dalam pembangunan bola sepak remaja negara sekiranya Malaysia mahu kembali disegani di pentas Asia.
Bekas Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Khalid Yunus menegaskan, kegagalan skuad belia negara di peringkat antarabangsa adalah bukti jelas kelemahan ketika ini. – UTUSAN










