Tiada pilihan Hakim, Qabil perlu menang

Tiada pilihan Hakim, Qabil perlu menang

Hakim Danish (kiri) dan Qabil Irfan berkongsi misi memburu kemenangan di Itali serta Portugal pada hujung minggu ini. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua pelumba negara, Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan membawa misi yang sama hujung minggu ini memburu kejuaraan dengan kedudukan pendahulu keseluruhan menjadi sasaran pasukan SIC Racing.

Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, buat Hakim Danish, perlumbaan di Litar Misano merupakan aksi penutup musim dan dia perlu menang dalam kedua-dua saingan untuk merampas takhta kejuaraan pada Piala RedBull MotoGP Rookies.

“Minggu ini sangat penting, saya akan bersama dengan Hakim Danish, sasaran kita ialah menang kedua-dua perlumbaan dan saya yakin dia boleh melakukannya kerana Litar Misano merupakan trek kegemarannya.

“Kita ketinggalan 26 mata dengan pendahulu, Brian Uriarte. Saya yakin selepas tiga minggu persiapan rapi di Malaysia, Danish benar-benar bersedia untuk perlumbaan minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pelumba berusia 18 tahun itu kini mengumpul 165 mata dan berada di tempat ketiga manakala Uriate dari Sepanyol mengutip 191 mata dan penunggang Indonesia, Veda Pratama di tangga kedua dengan 170 mata.

Sementara itu, mengulas Qabil Irfan yang beraksi pada Kejohanan Superbike Sepanyol, Zulfahmi berkata, pelumba berusia 13 tahun itu tidak lagi boleh membiarkan pesaing terdekatnya, Alessio Arnold dari Switzerland memenangi kesemua perlumbaan.

“Qabil kini mendahului kategori ESBK Talent Cup dengan kelebihan 32 mata. Kita tidak boleh membiarkan Alessio memenangi kesemua perlumbaan, jadi saya telah berbincang dengan pasukan untuk melakukan beberapa perubahan pada jentera.

“Kami yakin pasukan akan menyediakan jentera yang lebih baik. Qabil juga telah menjalani latihan bersama Riders Formation sepanjang minggu lepas di sana dan saya berharap dia akan terus berjuang untuk meraih kemenangan di Litar Estoril, Portugal,” katanya.

Qabil kini mendahului senarai ESBK Talent Cup dengan kutipan 202 mata, manakala, Arnold mengekori rapat di tempat kedua (170 mata) dan Izan Rodriguez dari Sepanyol di kedudukan ketiga (144 mata).

Perlumbaan kini hanya berbaki dua pusingan iaitu di Litar Estoril, Portugal (11-14 September) dan di Litar Jerez, Sepanyol (6-9 November). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN