PETALING JAYA: Beregu profesional lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akhirnya berjaya melunaskan dendam terhadap gandingan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan apabila mara ke suku akhir China Masters di Shenzen, semalam.
Pasangan No. 3 dunia itu yang sebelum ini dikecewakan lawan sama di pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia bulan lalu, bangkit menundukkan mereka 21-16, 22-20 dalam masa 35 minit.
Lebih manis, kemenangan tersebut juga menyaksikan rekod pertemuan kembali berpihak kepada Sze Fei-Izzuddin, yang sebelum ini menang tiga kali berturut-turut sebelum dikejutkan dalam aksi di Paris.
“Kami mungkin sedikit terganggu dengan kekalahan di Kejohanan Dunia, tetapi hari ini kami belajar daripada kesilapan itu.
“Pada mata-mata penting, kami perlu lebih tenang dan fokus dengan pelan permainan, kalau tidak semua pukulan jadi 50-50,” kata Izzuddin.
Sze Fei pula menegaskan mereka sudah mula menemui semula keyakinan selepas beberapa kejohanan sebelum ini berakhir hambar.
“Walaupun ada tekanan dan keadaan gelanggang agak mencabar, kami berjaya mengatasinya dan itu lebih beri keyakinan untuk perlawanan seterusnya,” kata Sze Fei.
Gandingan negara itu seterusnya bakal berdepan sama ada juara Terbuka Hong Kong minggu lalu, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China atau beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri pada aksi suku akhir, hari ini. – UTUSAN









