PETALING JAYA: Chen Tang Jie membuktikan peranan pentingnya sebagai rakan gandingan apabila memberi sokongan moral penuh kepada pasangannya, Toh Ee Wei yang beraksi dalam keadaan tidak sihat sebelum mara ke suku akhir China Masters, semalam.
Pasangan beregu campuran No.3 dunia itu berdepan detik cemas apabila diheret ke set penentuan sebelum menutup perlawanan 21-13, 13-21, 21-16 ke atas pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu di Arena Shenzhen.
Ee Wei yang demam serta batuk nyata tidak berada pada tahap terbaik, sekali gus membuka ruang kepada lawan untuk memintas mereka pada set kedua.
Namun, Tang Jie tampil mengambil alih peranan lebih dominan di gelanggang dan membantu pasangannya kembali fokus untuk menundukkan gandingan No.12 dunia itu.
“Saya rasa hari ini (semalam) saya perlu pastikan dia selesa kerana dia memang tidak sihat, jadi saya cuba pimpin permainan dan kekalkan komunikasi antara kami.
“Saya rasa secara keseluruhan komunikasi adalah kunci utama. Bermain beregu kami ibarat satu. Jadi kami gembira dapat menang hasil kerjasama yang baik,” kata Tang Jie.
Dalam masa sama, Ee Wei mengakui beliau mengalami demam, batuk dan selsema sejak tiba di Shenzhen untuk kejohanan bertaraf Super 750 itu.
Biarpun kurang sihat, semangat juang tinggi Ee Wei tetap terserlah hasil sokongan moral tidak berbelah bahagi daripada Tang Jie sepanjang perlawanan berlangsung.
“Saya tidak sihat sebelum datang ke China Masters. Sampai hari ini (semalam) saya masih batuk dan selsema.
“Banyak Tang Jie bercakap dengan saya tentang strategi permainan. Jadi saya ikut dia (Tang Jie) punya strategi dan akhirnya kami saling percaya antara satu sama lain,” kata Ee Wei. – UTUSAN









