Keserasian kekuatan Tang Jie-Ee Wei

Keserasian kekuatan Tang Jie-Ee Wei

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke separuh akhir China Masters selepas menewaskan gadingan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 21-12, 12-21, 21-17 di Shenzen, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keserasian dan komunikasi yang lebih baik di dalam gelanggang, kini menjadi kekuatan kepada juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dalam mengekalkan rentak konsisten mereka mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton China Masters di Shenzhen, China, semalam.

Pasangan No. 3 dunia itu mengetepikan beregu No. 6 dunia dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 21-12, 12-21, 21-17 dalam masa 1 jam 1 minit pada suku akhir di Shenzhen Arena.

Hari ini, mereka bakal berdepan laluan yang lebih getir apabila beregu tuan rumah yang merupakan gandingan No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping menanti mereka di separuh akhir.

Tang Jie berkata, keberhasilan mereka sehingga berjaya mara ke separuh akhir adalah disebabkan komunikasi dan saling percaya antara satu sama lain.

“Seperti semalam (kelmarin) saya yang mengetuai di dalam gelanggang, tetapi, hari ini (semalam) Ee Wei pula yang memimpin dan memberi arahan, jadi, saya sangat gembira kita boleh menang perlawanan hari ini,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas permainan tamat.

Sementara itu, Ee Wei pula berkata, corak permainan mereka banyak bergantung kepada siapa lawan yang mereka temui.

“Kita banyak meneliti permainan pencabar kami, macam mana mahu meningkatkan persembahan diri sendiri, banyak kesilapan mudah yang dilakukan perlu kami perbaiki

“Jadi, penting untuk kami saling memberikan motivasi di antara satu sama lain dan berusaha mencari rentak permainan yang terbaik,” katanya.

Tidak mudah buat Tang Jie-Ee Wei berdepan Yan Zhe-Dong Ping yang memegang rekod pertemuan 6-2 dan sokongan padu penyokong turut menjadi cabaran besar buat beregu campuran No. 1 Malaysia itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×