PETALING JAYA: Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi membendung salah laku pemain dan pegawai pasukan.
Presidennya, Datuk Abdul Halim Kader menegaskan, SOP itu digubal selepas pihaknya mendapati insiden keterlaluan seperti menceroboh gelanggang, membaling botol air, memaki pengadil serta menendang papan iklan semakin menjadi-jadi sepanjang saingan Liga Sepak Takraw (STL) Grand Prix 2025 di Kuala Lumpur dan Johor Bahru baru-baru ini.
“Perkara ini mencemar imej takraw. SOP ini akan memastikan kad merah atau kuning dikenakan secara automatik terhadap pemain dan pegawai yang melakukan salah laku.
“Mereka juga wajib digantung daripada beberapa perlawanan sementara menunggu siasatan jawatankuasa tatatertib penganjur,” katanya dalam kenyataan semalam.
Halim yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), SOP berkenaan akan melengkapkan Fasal 16.4.1, 16.4.2 serta 17.2 Undang-Undang Permainan ISTAF selain mengemas kini peranan pengadil.
Beliau turut kesal dengan sikap segelintir pihak yang gagal menghormati pengadil, malah mendedahkan terdapat kes jurulatih yang dikenakan kad merah tetapi masih dibenarkan bertugas pada aksi berikutnya tanpa sebarang tindakan tatatertib.
“Pengadil juga manusia, mereka tidak mudah mengawal suasana apatah lagi dengan ribuan penonton. Sebab itu SOP ini penting bagi melindungi integriti perlawanan,” katanya.
Bagi memastikan kelancaran Kejohanan STL Piala Juara-juara 2025, ASTAF akan menurunkan 10 pengadil bertauliah ISTAF dari Malaysia bersama lima lagi pengadil antarabangsa dari India, Indonesia, Singapura, Thailand dan Korea Selatan selain 10 pegawai teknikal antarabangsa (ITO).
ASTAF turut memperkenalkan laporan analisis pengadil melalui borang khas untuk meningkatkan prestasi serta mengelak kontroversi pada masa akan datang. – UTUSAN










