Skuad B-23 mahu tebus aib Piala ASEAN

Skuad B-23 mahu tebus aib Piala ASEAN

Skuad Bawah 23 negara berlatih di padang latihan Universiti Thammasat, Pathum Thani, Thailand. - IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyerang skuad bawah 23 (B-23), Fergus Tierney mahu rakan sepasukan bersatu untuk melakar keputusan positif dalam kelayakan Piala Asia B-23 yang membuka saingan, hari ini.

Anak buah Nafuzi Zain akan turun beraksi pada pukul 4 petang ini menentang Lubnan di Stadium Pathum Thani dalam aksi pembukaan sebelum berdepan Mongolia (6 September) dan Thailand (9 September).

Menurut Tierney, dia tidak pernah berasa penat untuk menghadirkan keputusan positif bagi melunaskan harapan peminat untuk Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Arab Saudi, tahun depan.

Tierney juga tidak mahu penyertaan pasukan negara pada kelayakan kali ini sekadar medan mencari pengalaman sebaliknya nekad untuk menghadirkan kejayaan.

“Saya sendiri berada dalam keadaan terbaik selepas berpeluang bermain beberapa perlawanan dengan Sabah. Kini saya rasa saya cergas dan bersedia untuk bermain dengan pasukan B-23.

“Bagi aksi antarabangsa, masa yang ada hanya sekejap tetapi semua itu adalah perkara biasa. Bagi saya ia bukan perkara baharu, kami semua pun sudah saling kenal, berasa selesa antara satu sama lain.

“Kami harap pasukan ini mampu buat lebih baik lagi berbanding apa yang dilakukan di Piala ASEAN B-23,” katanya yang merujuk kegagalan skuad muda negara layak ke separuh akhir di pertandingan Asia Tenggara.

Untuk rekod, hanya juara kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Arab Saudi, tahun depan.

Anak buah Nafuzi juga perlu melakar keputusan positif di pentas kelayakan ini kerana ia menjadi medan pengukur sama ada skuad negara diletakkan dalam Kategori A atau B pada temasya Sukan SEA 2025 yang berlangsung di Thailand, hujung tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN