PETALING JAYA: Seperti ada yang tidak kena apabila jaguh skuasy wanita negara S. Sivasangari yang menjadi wakil tunggal negara meneruskan perjuangan akhirnya tumbang lagi kepada bintang remaja Mesir yang sedang meningkat naik, Amina Orfi dalam aksi suku akhir Terbuka Mesir, semalam.
Anak jati Sungai Petani, Kedah berusia 26 tahun itu yang menghuni ranking No. 8 dunia tewas 6-11, 8-11, 11-4, 9-11 kepada bintang No.5 dunia itu di Kaherah.
Kekalahan tersebut merupakan kedua berturut-turut kepada Amina, selepas dia turut dikecewakan pencabar yang sama pada separuh akhir Klasik London, minggu lalu.
Jurulatih kebangsaan, Sharil Shahidan berkata, Sivasangari telah mempamerkan permainan yang agak seimbang, tetapi, pemain itu tiada penyudah yang baik untuk mengutip mata.
“Dia agak sedih kerana tak boleh balas dendam balik, (perlawanan) nampak agak seimbang, tetapi, Amina ambil peluang tepat pada waktunya untuk dapatkan mata,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut beliau, Sivasangari perlu belajar untuk mencari waktu yang sesuai bagi menghadirkan tekanan ke atas lawan dan dalam masa sama mengintai peluang melancarkan serangan.
Katanya, tidak dinafikan Amina telah bermain dengan baik tanpa banyak bagi peluang atau masa mencukupi untuk Sivasangari bangkit dalam setiap permainan rali.
Kedua-dua pemain sebenarnya sering bertemu dalam Jelajah Dunia, cuma sejak kebelakangan ini, Sivasangari kerap tewas di tangan Amina yang baru berusia 18 tahun. – UTUSAN










