PETALING JAYA: Ketua jurulatih pasukan hoki kebangsaan, Sarjit Singh tetap memberikan pujian buat pemainnya biarpun gagal merealisasikan impian melangkah ke final Piala Asia 2025.
Jurulatih berusia 63 tahun itu berkata, kejayaan menamatkan saingan di kedudukan ketiga adalah pencapaian yang boleh dibanggakan selepas impian ke final musnah di tangan Korea Selatan.
Katanya lagi, kejayaan Akhimullah Anuar Esook muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan 12 jaringan selain purata 4.7 gol bagi setiap perlawanan sepanjang kempen diadakan meletakkan Speedy Tigers di landasan yang betul.
“Pertama sekali pemain bermain dengan baik untuk layak ke final tapi selepas kalah (4-3 kepada Korea Selatan) semua pemain kecewa dan mereka bangkit dan tamatkan pada kedudukan podium.
“Sasaran kami layak ke final tapi menamatkan pada kedudukan podium juga adalah keputusan yang bagus. Pemain kita penjaring terbanyak kejohanan. Purata jaringan dalam kejohanan ini kami menjaringkan 4.7 gol untuk setiap perlawanan dan itu sangat bagus.
“Saya fikir pemain menunjukkan peningkatan dan kami perlu beraksi lebih baik. Macam sebelum ini saya cakap, kami semakin baik tapi kami perlukan masa dan buat masa sekarang kami berada di landasan yang betul,” katanya.
Malaysia muncul pasukan ketiga terbaik kejohanan selepas menewaskan China 4-1 dan Sarjit mengakui kemenangan tersebut amat penting bagi memberi sumbangan mata pada kedudukan ranking yang turut memberi kesan dalam kelayakan Piala Dunia 2026.
“Kemenangan hari ini (kelmarin) amat penting sebab lepas kalah dengan Korea Selatan kami kehilangan 71 mata. Kami menang dan kami kekal di tangga ke-12 dunia,” katanya. – UTUSAN










