Pemain Harimau Malaya tepati 'selera' Cklamovski

Pemain Harimau Malaya tepati ‘selera’ Cklamovski

RICHARD Chin antara muka baharu yang dipanggil Cklamovski untuk sertai kem kebangsaan. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan bahawa setiap pemain yang dipanggil menyarung jersi negara telah dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan serta kesesuaian dengan taktikal dan strategi pasukan.

Menurutnya, barisan kejurulatihan sentiasa memantau prestasi pemain bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik sebelum diberi peluang menyertai skuad kebangsaan.

Beliau turut menekankan bahawa pemilihan pemain yang memenuhi kriteria adalah amat penting kerana ia memastikan setiap perancangan dan strategi pasukan dapat dilaksanakan dengan lancar pada setiap perlawanan.

“Tugas saya adalah untuk mengenal pasti pemain-pemain yang sesuai dengan corak permainan diterapkan pasukan. Kami sentiasa memantau pemain-pemain ini di kelab selain menyaksikan permainan mereka.

“Kami memiliki senarai panjang pemain berdasarkan prestasi, etika kerja di atas padang ketika bersama kelab masing-masing selain karakter mereka. Saya ambil semua maklumat itu daripada perlawanan dan sesi latihan,” katanya.

Pengendali dari Australia itu menjelaskan, barisan kejurulatihan memiliki idea cukup jelas mengenai corak permainan yang mahu diterapkan sekali gus menjadikan proses pemantauan penting untuk pemilihan pemain.

Cklamovski memanggil 29 pemain menyertai kem latihan pusat sebelum ini bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Singapura dan Palestin dengan 25 daripadanya merupakan skuad Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam Jun lalu.

Selain itu, empat muka baharu turut dipanggil termasuk Sergio Aguero, Suhaimi Husin, Azam Azmi dan Richard Chin dalam usaha mencari gandingan terbaik bagi mengharungi aksi lebih mencabar pada perlawanan akan datang, sekali gus memberi Cklamovski banyak pilihan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×