KELAYAKAN PIALA DUNIA
KUMPULAN B
Switzerland 3-0 Slovenia
Kosovo 2-0 Sweden
KUMPULAN C
Greece 0-3 Denmark
Belarus 0-2 Scotland
KUMPULAN I
Israel 4-5 Itali
KUMPULAN L
Gibraltar 0-1 Kepulauan Faroe
Croatia 4-0 Montenegro
DEBRECEN: Sandro Tonali menyelamatkan maruah Itali apabila gol lewatnya membantu skuad Azzurri menumpaskan Israel 5-4 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026, semalam.
Pemain tengah Newcastle itu meledak pada masa kecederaan menerusi rembatan menembusi celah kaki lawan sebelum bola menerjah jarring dalam aksi dramtik di Debrecen, Hungary.
Azzurri, yang terlepas dua edisi Piala Dunia sebelum ini, mendahului 4-2 pada minit ke-81 apabila pemain gantian Giacomo Raspadori meledak selepas menggantikan Moise Kean yang cemerlang dengan dua gol pertama Itali.
Namun, gol sendiri Alessandro Bastoni dan tandukan Dor Peretz menyamakan kedudukan untuk Israel sebelum jaringan Tonali memastikan Itali melonjak ke tangga kedua Kumpulan I, berkongsi sembilan mata dengan Israel yang beraksi satu perlawanan lebih.
“Kami akan terima kemenangan ini kerana ia amat penting untuk kami, tetapi kami benar-benar gila, gila kerana kami bolos gol yang tidak masuk akal.
“Kami perlu bekerja keras untuk memperbaiki kerana kami terlalu rapuh, kami mudah melepaskan gol. Pemain sedar mengenainya, tetapi ini masalah yang perlu saya selesaikan.
“Namun anda harus beri pujian kepada pemain kerana setiap kali mereka menerima tamparan, mereka berani untuk bangkit dan lawan semula,” kata pengurus Itali, Gennaro Gattuso.
Itali kini ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Norway dan masih berpeluang merebut tangga teratas serta tiket automatik ke pusingan akhir.
Namun jurulatih baharu Gattuso masih banyak yang perlu difikirkan menjelang aksi timbal balik Oktober menentang Estonia dan Israel.
Tuan rumah Israel sepatutnya berpuas hati dengan keputusan seri, kerana Kean sebelum itu dua kali menyelamatkan Itali selepas gol sendiri Manuel Locatelli dan rembatan hebat Peretz pada minit ke-52 di Stadium Nagyerdei yang hampir kosong. – AGENSI/UTUSAN










