Izzah sandaran tunggal ke Kejohanan Dunia

Izzah sandaran tunggal ke Kejohanan Dunia

Nuru Izzah Izzati Mohd Asri-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bakal menjadi sandaran tunggal Malaysia pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Santiago, Chile bulan depan.

Harapan lain negara berkecai selepas kehilangan jaguh berpengalaman, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang masih dibelenggu kecederaan lutut berulang pada saat akhir.

Lebih mendukacitakan, trio pecut lelaki negara menerusi Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis dan Mohd. Akmal Nazimi Jusena turut gagal menepati masa kelayakan dalam ujian pemilihan di Velodrom Nasional, Nilai, minggu lalu.

Ketua jurulatih kebangsaan, Harnizam Basri mengakui keputusan itu sukar diterima, namun menegaskan ia sebahagian daripada strategi jangka panjang skuad trek negara.

“Memang kecewa sebab catatan 44.4 saat itu kurang 0.5 saat daripada sasaran, tetapi sekurang-kurangnya ia memberi gambaran tahap sebenar pelumba ketika ini,” kata Harnizam kepada Utusan Malaysia.

Tumpuan kini beralih sepenuhnya kepada Nurul Izzah yang bakal berdepan cabaran juara dunia keirin 2024 dari Jepun, Mina Sato serta juara dunia pecut 2023 dari Britain, Emma Finucane dengan sasaran memperbaharui rekod peribadi dalam acara 200 meter (m) pecut selain mara sekurang-kurangnya ke suku akhir keirin.

Sebagai rekod, pada edisi lalu di Ballerup, Denmark, Nurul Izzah menamatkan saingan keirin di tempat ketujuh, pencapaian terbaiknya di pentas dunia setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×