KUALA LUMPUR: Mengekalkan rekod tanpa bolos menjadi misi utama Harimau Malaya ketika berdepan Singapura dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Rekod bersih tanpa melepaskan sebarang gol dalam perlawanan terakhir ketika menang besar 4-0 ke atas Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada Jun lalu, perlu dikekalkan.
Kapten Harimau Malaya, Dion Cools berkata, semua pemain perlu mengekalkan momentum kemenangan tanpa melepaskan sebarang gol untuk membuktikan kualiti skuad kebangsaan.
Pertahanan Cerezo Osaka itu berkata, kekebalan di benteng pertahan bakal menjadi salah satu fokus utama yang harus diberi perhatian supaya tidak mudah dibolosi pasukan lawan.
“Sebagai pemain pertahanan, sudah tentu mentaliti saya untuk memastikan gawang tidak dibolosi. Namun, semua pemain perlu bersatu dan beraksi sepenuh jiwa di atas padang nanti.
“Kita perlu bekerja dalam satu pasukan bagi memastikan misi untuk meneruskan momentum kemenangan dapat direalisasikan,” kata pemain berusia 28 tahun itu.
Cools dijangka menguatkan benteng pertahanan negara bersama tonggak pertahanan Alaves, Facundo Garces dan dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Jon Irazabal dan Corbin Ong.
Sementara itu, pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski memilih untuk berahsia tentang kesebelasan utama pasukan untuk berdepan Singapura yang berada di ranking ke-159 dunia.
Kata Cklamovski, tiada istilah kesebelasan utama terbaik atau simpanan kerana semua pemain telah memberikan komitmen penuh sepanjang kem Latihan pusat kali ini.
“Saya tidak pernah ada kesebelasan terbaik, sebaliknya saya percaya dengan kualiti semua pemain yang ada untuk menempuh dua perlawanan sukar kali ini.
“Sesiapa sahaja yang diturunkan pasti memberikan sepenuh tenaga dan faham dengan falsafah bola sepak yang cuba kita terapkan.
“Saya mahu mereka saling bekerjasama di atas padang untuk pastikan gawang tidak dibolosi dan mempamerkan aksi berkualiti untuk menjaringkan gol,” katanya.
Selepas berdepan Singapura, Harimau Malaya akan menghadapi perlawanan persahabatan lebih sukar apabila dijadualkan bertemu Palestin yang berada di ranking ke-98 dunia di Stadium Sultan Ismail, Isnin depan. – UTUSAN
INFO
MALAYSIA lwn SINGAPURA
Stadium Nasional, Bukit Jalil
9 malam ini
Ramalan Kesebelasan Utama
Jurulatih: Peter Cklamovski
Ranking: 125
Kapten: Dion Cools
Formasi :4-4-3
Penjaga Gol: Ahmad Syihan Hazmi
Pertahanan: Dion Cools, Jon Irazabal, Facundo Garces, Corbin Ong
Tengah: Noaa Laine, Endrick Dos Santos, Sergio Aguero
Penyerang: Arif Aiman Hanapi, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado
REKOD PERTEMUAN
7 Oktober 2016
Singapura 0-0 Malaysia
20 Mac 2019
Malaysia 0-2 Singapura
26 Mac 2022
Singapore 2-1 Malaysia
3 Januari 2023
Malaysia 4-1 Singapura
20 Disember 2024
Malaysia 0-0 Singapura











