PETALING JAYA: Pasukan hoki lelaki kebangsaan tidak mahu memandang mudah cabaran Bangladesh apabila turun pada aksi pembukaan Hoki Piala Asia 2025 di Rajgir, India hari ini.
Skuad bimbingan Sarjit Singh itu diundi dalam Kumpulan B bersama Bangladesh, Korea Selatan dan Taiwan dengan hanya dua pasukan terbaik mara ke separuh akhir.
Pemain tengah Speedy Tigers, Mohammad Fitri Saari menegaskan perlawanan menentang Bangladesh amat penting kerana ianya bakal menentukan langkah awal Malaysia untuk memburu slot ke separuh akhir.
“Esok (hari ini) harap-harap kita dapat tiga mata. Pertama sekali sasaran kita memang nak pergi ke separuh akhir tetapi untuk lawan Bangladesh dengan Korea dan Taiwan ini, saya rasa esok perlawanan paling penting.
“Dengan Bangladesh ini kita kena dapatkan tiga mata. Tidak boleh ambil mudah sebab pasukan Bangladesh pun dia boleh main juga. Jadi kita kena fokus penuh,” kata Fitri kepada Utusan Malaysia.
Malaysia akan membuka kempen menentang Bangladesh pada pukul 11.30 pagi ini sebelum berdepan Korea Selatan pada Sabtu dan melengkapkan aksi kumpulan menentang Taiwan, Isnin.
Untuk rekod, Korea Selatan merupakan juara bertahan selepas menewaskan Malaysia 2-1 pada final edisi 2022 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.
Skuad negara pernah dua kali melangkah ke pentas akhir iaitu pada 2017 dan 2022, namun tewas masing-masing kepada India serta Korea Selatan dengan keputusan sama 2-1.
Dalam pada itu, Fitri menegaskan semua pemain berada dalam keadaan baik dan bersemangat untuk mengharungi kejohanan kali ini tanpa sebarang masalah kecergasan.
“Saya harap menang sahaja, kalau dapat skor (gol) lebih, itu merupakan bonus buat kami. Bagaimanapun kita fokus untuk mendapat tiga mata berharga itu dahulu,” katanya. – UTUSAN










