Satu beregu wajib ke pentas final Kejohanan Dunia

Satu beregu wajib ke pentas final Kejohanan Dunia

RAZIF SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kem badminton negara perlu memastikan sekurang-kurangnya satu beregu lelaki mara ke pentas final Kejohanan Dunia 2025 di Paris yang bermula 25 Ogos ini.

Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek berkata, dengan tiga pasangan lelaki negara kini berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, peluang ke final adalah terbuka luas dan tidak wajar dilepaskan.

“Kita ada tiga beregu dalam ranking dunia nombor dua, tiga dan tujuh. Jadi, sekurang-kurangnya satu mesti ke final.

“Kalau berjaya ke final, itu sudah membanggakan negara, kalau menang pula, lebih manis,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Razif mengakui tumpuan kini terarah kepada pasangan No.2 dunia, Aaron Chia–Soh Wooi Yik yang pernah menjuarai Kejohanan Dunia 2022 dan konsisten mara ke final dalam beberapa siri kejohanan utama.

“Prestasi Aaron dan Wooi Yik bagus. Mereka sudah masuk tiga ke empat final sebelum ini. Kalau dapat ulangi momentum itu, saya percaya peluang mereka cerah,” jelasnya.

Dalam masa sama, Razif turut mengingatkan pasangan Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani agar segera bangkit selepas prestasi mereka dilihat agak merudum kebelakangan ini.

“Permainan mereka sebenarnya baik, cuma nampak ada masalah fizikal. Kalau kelemahan ini dapat diatasi, saya yakin mereka boleh ke separuh akhir dan bertemu Aaron–Wooi Yik. Jadi Malaysia tetap ada satu slot ke final,” ujarnya.

Hasil undian, Aaron-Wooi Yik mendapat ‘bye’ untuk ke pusingan kedua dan akan menantikan pemenang perlawanan antara beregu Sepanyol, Daniel Franco-Rodrigo Sanjurjo dan Christopher Grimley-Matthew Grimley dari Scotland.

Dalam saingan awal, Sze Fei–Izzuddin dijadual menentang sama ada pasangan Scotland, Chen Zhi Yi–Presley Smith atau gandingan Thailand, Peeratchai–Teeraratsakul.

Pasangan muda Arif Junaidi–Yap Roy King pula akan berdepan Hiroki Okamura–Kenya Mitsuhashi dari Jepun, manakala Man Wei Chong–Tee Kai Wun bakal menentang pemenang antara Christo Popov–Toma Popov (Perancis) atau Keith Mark–Jack Yu (Australia). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×