PETALING JAYA: Musim baharu Liga Super musim 2025/2026 secara rasmi akan membuka tirai esok dengan 13 pasukan akan bersaing merebut kejuaraan.
Adakah kejuaraan akan kekal menjadi milik Johor Darul Ta’zim (JDT) atau pemenang baharu bakal dinobatkan pada saingan kali ini, semuanya akan terjawab selepas 24 perlawanan keseluruhan berlangsung.
Secara realistik perebutan naib juara Liga Super lebih mencuri tumpuan berbanding juara berikutan pasukan-pasukan seperti Kuala Lumpur (KL) City yang rata-rata dibarisi pemain berpengalaman, selain pendatang baharu Brunei DPMM FC.
Situasi itu pastinya memberi tekanan kepada Selangor FC (SFC) yang menjadi naib juara musim lalu selepas mengumpul 52 mata, jauh ketinggalan dengan JDT (70 mata) manakala pasukan di tangga ketiga keempat iaitu Sabah (40 mata) serta Kuching City (39 mata).
Pemerhati bola sepak tempatan, Dr Zulakbal Abd Karim percaya saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan membuka tirai pada Ogos ini dijangka lebih menarik dengan kebangkitan kelab-kelab yang sebelum ini kurang diberi perhatian.
Beliau berkata, ketiadaan kelab Sri Pahang FC, Perak FC dan Kedah Darul Aman FC musim ini dilihat tidak akan merencatkan kemeriahan Liga-M apabila pasukan seperti Negeri Sembilan FC, Kuching City FC dan Penang FC dilihat serius dalam mempersiapkan skuad masing-masing.
Malah, kehadiran semula kelab dari Brunei, DPMM FC, dan juara AFL A1, Melaka FC, juga dilihat mampu menambah saingan kepada kelab-kelab utama seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC.
Nampaknya Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berusaha sedaya mungkin memastikan hanya pasukan yang benar-benar bersedia dari segi pengurusan dan daya saing diberikan ruang.
“Seperti kata pepatah Inggeris, ‘only the strong can survive’, dan kelab-kelab ini telah bermati-matian untuk kekal. Jadi mereka pasti bermati-matian juga untuk jadi pencabar utama,” katanya.
Sementara itu, bekas penyerang Harimau Malaya, Indra Putra Mahayuddin optimis skuad Warga Kota mampu mencipta kejutan dalam misi menamatkan saingan dalam kelompok dua teratas Liga Super bagi musim baharu ini.
“Memang sebelum ini KL City berada di pertengahan liga tetapi dengan perubahan sekarang dan pemain yang berkualiti dimiliki mereka, saya rasa sasaran lebih tinggi boleh dicapai. Cuma kita masih belum lihat permainan sebenar mereka,” ujarnya.
Sementara itu, penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli melihat berdasarkan ‘skuad bintang’ yang dimiliki JDT selain persiapan lebih baik dilakukan Harimau Selatan bagi menghadapi musim baharu yang akan bermula 8 Ogos ini, mereka dijangka mampu menyapu bersih sekali lagi kejuaraan dipertandingkan di Liga M musim ini.
Pekan menyifatkan kelab milik Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail itu juga memiliki sasaran yang lebih tinggi untuk pergi lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
“JDT membawa masuk ramai pemain import dan juga pemain warisan baharu seperti Hector Havel, Joao Figueiredo dan sebagainya. Jadi, ini satu gambaran bahawa JDT kali ini lebih bersedia dan saya nampak bahawa mereka bukannya mensasarkan Liga M sahaja.
“Kali ini, tekad JDT lebih tinggi nak membuktikan bahawa mereka tidak mahu hanya dalam kelompok 16 terbaik di ACLE, tapi mereka nak pergi lebih jauh lagi.
“Sebab itu berlaku rombakan besar yang dibuat JDT. Ini satu petanda bahawa dalam saingan tempatan ini termasuk Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih, saya nampak boleh kita katakan 90 peratus sudah pasti akan didominasi JDT,” katanya. – UTUSAN










