MIKROPLASTIK merujuk zarah plastik berukuran kurang daripada 5 milimeter (mm), yang boleh terbentuk secara langsung (mikroplastik primer) seperti manik plastik dalam produk penjagaan diri atau melalui pereputan plastik besar (mikroplastik sekunder) akibat pendedahan kepada cahaya matahari, suhu serta tindakan fizikal dan biologi.
Zarah ini tahan degradasi semula jadi dan boleh kekal dalam persekitaran untuk tempoh yang sangat panjang.
Kehadiran mikroplastik dikesan di pelbagai komponen alam seperti udara, tanah, sungai dan lautan. Di laut, ia terapung atau mendap ke dasar sebelum dimakan oleh hidupan marin seperti plankton, kerang, udang dan ikan.
Mikroplastik boleh wujud dalam pelbagai bentuk sama ada gentian, butiran, filem atau serpihan halus, menjadikannya sukar dikesan dengan mata kasar. Apabila dimakan oleh organisma akuatik, mikroplastik boleh memasuki rantaian makanan dan akhirnya berpindah kepada manusia.
Lebih membimbangkan, mikroplastik bertindak sebagai ‘sponge kimia’ yang menyerap bahan toksik dari persekitaran seperti logam berat, racun perosak, alutan perlindungan pada papan litar bercetak (PCB), Hidrokarbon Poliaromatik (PAHs), dichlorodi-phenyltrichloroethane (DDT) iaitu racun serangga sintetik, serta bahan kimia berbahaya seperti ftalat dan Bisfenol A (BPA).
Apabila manusia memakan makanan laut tercemar, bahan kimia ini boleh memasuki tubuh dan menyebabkan keradangan usus, ketidakseimbangan hormon, tekanan oksidatif serta risiko gangguan metabolik, penyakit kardiovaskular dan kanser.
Dari sudut kimia, mikroplastik terdiri daripada pelbagai jenis polimer seperti polietilena (PE) dan polipropilena (PP) bersifat ringan dan mudah terapung, polietilena tereftalat (PET) polivinil klorida (PVC) dan Polistirena (PS), semuanya sukar diuraikan.
Mikroplastik ringan seperti PE dan PP terapung, manakala yang lebih berat seperti PET dan PVC mendap di dasar perairan. Ketahanan ini membolehkan mikroplastik terkumpul dalam ekosistem dan berinteraksi dengan bahan kimia toksik untuk jangka masa panjang.
Kesan kepada sistem endokrin turut ketara. Bahan seperti BPA dan ftalat boleh meniru hormon seks semula jadi, mengganggu kitaran haid, ovulasi dan penghasilan sperma, serta menjejaskan fungsi tiroid juga hormon metabolik. Ia juga boleh mengurangkan kualiti sperma, menyebabkan gangguan haid dan menjejaskan perkembangan kanak-kanak.
Kajian ke atas haiwan menunjukkan mikroplastik boleh merosakkan organ pembiakan, menyebabkan pengecutan testis, perubahan pada ovari dan uterus, serta kerosakan pada sel pembiakan seperti ovum dan sperma. Hal ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap kesuburan manusia dan kesihatan reproduktif jangka panjang.
KESELAMATAN MAKANAN
Organisma marin seperti kerang, tiram, ikan dan udang juga terdedah kepada mikroplastik melalui proses penapisan makanan dan pengambilan mangsa tercemar.
Kajian mendapati kerang dan tiram dari kawasan tercemar boleh mengandungi puluhan zarah mikroplastik. Ikan pula sering menelan mikroplastik secara tidak sengaja atau melalui pemakanan mangsa tercemar. Kesannya, bahan kimia toksik ini terkumpul melalui proses bioakumulasi dan biomagnifikasi, lalu meningkatkan kepekatannya di setiap peringkat rantaian makanan sehingga ke manusia.
Bagi udang dan ketam, mikroplastik dari dasar laut boleh masuk melalui bahan organik yang dimakan. Oleh kerana makanan laut ini menjadi sumber protein utama bagi manusia, kehadiran mikroplastik menimbulkan persoalan besar tentang keselamatan makanan kita.
Kajian menunjukkan mikroplastik boleh memasuki saluran penghadaman manusia, menembusi dinding usus dan memasuki aliran darah. Ini boleh menyebabkan keradangan, gangguan mikrobiota usus, kebocoran usus (leaky gut) dan merangsang tindak balas imun.
Kajian juga menemui mikroplastik dalam darah, najis dan paru-paru manusia, menandakan penyebarannya dalam sistem tubuh sangat meluas.
Dari sudut toksikologi, pendedahan kepada mikroplastik boleh menyebabkan kerosakan DNA, tekanan oksidatif dan kesan neurotoksik.
Bahan pencemar seperti PCB dan PAHs dikaitkan dengan kanser, manakala logam berat seperti merkuri dan kadmium boleh merosakkan buah pinggang, hati dan sistem saraf pusat.
Beberapa kajian juga menunjukkan bahan kimia ini boleh merentasi penghalang darah-otak dan plasenta, menimbulkan kebimbangan terhadap fungsi neurologi dan perkembangan janin.
Untuk mengurangkan risiko, beberapa langkah penting boleh diambil:
• Kurangkan penggunaan plastik sekali guna: Botol plastik, bekas makanan dan peralatan dapur plastik boleh melepaskan mikroplastik, terutama apabila terdedah kepada suhu tinggi. Pilih bahan alternatif seperti kaca, keluli tahan karat atau seramik.
• Pilih makanan laut dari sumber bersih: Elakkan makanan laut dari kawasan tercemar. Sediakan makanan laut dengan baik seperti menanggalkan saluran penghadaman ikan kecil atau memasak kerang untuk mengurangkan mikroplastik.
• Tukar gaya hidup harian: Elakkan pakaian sintetik yang melepaskan gentian mikroplastik, gunakan penapis pada mesin basuh, dan amalkan kitar semula dengan betul.
• Sokong dasar dan kempen awam: Galakkan penyelidikan dan pembangunan bahan biodegradasi, serta dasar larangan plastik sekali guna.
Tema Hari Alam Sekitar Sedunia 2025, ‘Bebas Plastik: Demi Alam dan Kesihatan Kita’, sangat bertepatan dalam konteks ini. Mikroplastik ialah hasil langsung dari kegagalan kita mengurus sisa plastik secara mampan.
Pencemaran plastik bukan sekadar isu alam, tetapi kini menjadi isu kesihatan awam global. Mesej utama tema ini ialah, apa yang kita buang ke alam, akhirnya kembali kepada kita.
Kita kini berdepan dengan krisis pencemaran yang memberi kesan langsung kepada makanan dan kesihatan. Maka, tindakan kolektif dari individu, komuniti hingga ke peringkat kerajaan amat diperlukan untuk melindungi masa hadapan manusia dan keseimbangan alam.-UTUSAN
DR. Razif Dasiman ialah Pensyarah Kanan (Fisiologi), Jabatan Sains Asas Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Selangor.










