Machuca terlepas aksi persahabatan

Machuca terlepas aksi persahabatan

IMANOL Machuca
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain warisan Harimau Malaya, Imanol Machuca bakal terlepas aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Palestin di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan depan.

Machuca berkata, kedua-dua perlawanan tersebut (4 dan 8 September) bertembung dengan aksi getir final Piala Super Argentina melibatkan pasukannya, Velez Sarsfield menentang Central Cordoba.

Katanya, final Piala Super Argentina akan berlangsung pada 6 September dan peluang untuk menyarung jersi skuad kebangsaan seterusnya adalah pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada Oktober depan.

“Saya ada menghubungi jurulatih (Peter Cklamovski) dan harap mereka akan memanggil saya lagi dalam skuad kebangsaan selepas mengharungi pengalaman yang luar biasa pada aksi pertama kelayakan Piala Asia 2027.

“Kita berjaya lakukan tugas dengan baik (menewaskan Vietnam 4-0 pada Jun lalu) dan saya berharap kita dapat menang pada dua perlawanan seterusnya (bertemu Laos pada 9 dan 14 Oktober).

“Mengenai aksi antarabangsa bulan September, saya masih lagi berbelah bahagi untuk meminta pelepasan kerana ia bertembung dengan aksi final Piala Super Argentina,” kata Machuca menerusi temu bual di laman Youtube Sabado Velez.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-Argentina berusia 25 tahun itu sebelum ini telah berkorban demi membuat debut bersama skuad Harimau Malaya apabila meninggalkan isterinya yang melahirkan bayi lelaki pada awal Jun lepas.

Machuca yang dipinjamkan ke Velez daripada pasukan Brazil, Fortaleza dijangka menjadi watak penting ketika menentang kelab utama pada aksi pusingan 16 terbaik Copa Libertadores, 13 Ogos depan.

Mengulas mengenai susur galur yang menyaksikan dirinya dipanggil menyertai Harimau Malaya, Machuca berkata, semua itu adalah usaha neneknya yang juga merupakan warga Malaysia.

“Saya mendapat panggilan daripada nenek saya. Dia telah mengusahakan perkara ini (menyertai Malaysia), saya bercakap mengenainya sejak sekian lama, tetapi tidak pernah berjaya melakukannya. Namun, tahun ini saya akhirnya dapat bermain. Ia luar biasa.” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN