Liverpool sedia jual Elliott

Liverpool sedia jual Elliott

Harvey Elliott
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: RB Leipzig dilaporkan telah memulakan rundingan awal dengan Liverpool bagi mendapatkan khidmat pemain tengah, Harvey Elliott dengan nilai perpindahan sekitar 50 juta pound (RM280 juta).

Menurut laporan The Athletic, kelab Bundesliga itu melihat Elliott sebagai calon terbaik untuk menggantikan Xavi Simons yang semakin hampir menyertai Chelsea selepas pemain itu tidak disenaraikan dalam skuad pramusim Leipzig.

Elliott, 21, masih terlibat dalam aksi pramusim bersama Liverpool dan turut mencatat nama selaku penjaring dalam kemenangan 4-1 ke atas Athletic Club, Isnin lalu.

Namun, masa depannya di Anfield terus menjadi tanda tanya selepas hanya membuat dua penampilan dalam kesebelasan utama sepanjang kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, kedua-duanya selepas Liverpool sah bergelar juara.

Ketibaan bintang baharu seperti Florian Wirtz dijangka terus menyukarkan peluang Elliott untuk mendapat minit permainan secara konsisten.

Terdahulu, Elliott secara terbuka mengakui dia perlu mempertimbangkan masa depannya dan mendapatkan lebih banyak peluang bermain.

“Saya kini berusia 22 tahun dan akan mencecah 23 musim depan. Saya tidak mahu sia-siakan tahun-tahun penting dalam kerjaya bola sepak saya.

“Saya hanya mahu berkembang, jadi pemain terbaik yang saya mampu. Jika itu bermakna saya perlu ke tempat lain, maka itu satu keputusan yang perlu saya buat,” kata Elliott.

Elliott, yang telah membuat 147 penampilan bersama Liverpool sejak tahun 2019, baru-baru ini dinobatkan Pemain Terbaik Kejohanan B-21 Eropah selepas menjaringkan lima gol dalam enam perlawanan.

Liverpool dikatakan bersedia melepaskan Elliott pada harga 40 juta pound (RM224 juta) jika Leipzig bersetuju menyertakan klausa pembelian semula dalam kontrak, atau 50 juta pound (RM280 juta) tanpa klausa itu. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×