'Lambat panas' punca PDRM FC belum menang

‘Lambat panas’ punca PDRM FC belum menang

Aksi pemain Melaka FC menentang PDRM FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali PDRM FC, Eddy Gapil menyifatkan kegagalan pemainnya bermain seperti dirancang memaksa mereka terpaksa berpuas hati dengan keputusan tanpa jaringan menentang Melaka FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), kelmarin.

Keputusan seri 0-0 itu menyaksikan skuad ‘The Cops’ masih belum menemui pintu kemenangan dalam Liga Super selepas turut mengutip satu mata ketika berdepan DPMM FC (2-2) dan Terengganu FC (2-2).

Eddy menjelaskan ‘lambat panas’ menjadi antara faktor pasukannya bergelut mencipta kemenangan namun dia tetap berpuas hati anak buahnya berjaya mengutip sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan itu.

“Kita bermula agak perlahan tetapi tempo permainan kita lebih baik pada separuh masa kedua. Kita ada mencipta beberapa peluang tetapi kita gagal menjaringkan gol.

“Kita bermain tidak seperti apa yang sepatutnya. Mungkin apa yang saya lihat, faktor keletihan dan juga jadual yang padat memainkan peranan tetapi kita perlu beri kredit kepada pemain.

“Memang kita tidak mencipta peluang untuk kemenangan tetapi pada saya, satu mata pun sangat berharga untuk pasukan,” katanya.

Tiga keputusan seri berturut-turut itu menyaksikan PDRM FC kini berada di tangga kelima Liga Super selepas tiga perlawanan.

Eddy kini perlu mempersiapkan pasukannya dan kembali fokus untuk menghadapi aksi seterusnya berdepan KL City FC di tempat lawan, Rabu ini.

“Kita kena menganalisis seluruh pasukan terutamanya membabitkan kecederaan pemain.”Jadi kita akan lihat pemain yang sesuai untuk kita gunakan bagi menentang KL City FC nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN