PETALING JAYA: Kem Sepak takraw kebangsaan mendapat khabar gembira apabila perejam Negeri Sembilan Antlers, Muhammad Hafizul Hayazi Adnan diberi pelepasan oleh majikannya untuk mewakili negara dalam temasya Sukan SEA di Thailand pada hujung tahun ini.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan mengesahkan perkembangan itu sekali gus memberi kelegaan kepada kem negara yang sedang merangka persiapan awal menghadapi temasya dwitahunan tersebut.
“Sorang sudah iaitu John,” katanya ringkas kepada Utusan malaysia mengenai perkembangan terbaru isu berkenaan.
Ketika ditanya mengenai perkembangan status seorang lagi pemain iaitu Zuleffendi Sumari atau mesra disapa Pak Long, Sumali berkata, perbincangan lanjut masih sedang berjalan.
“Untuk status Pak Long, masih lagi dalam perbincangan lanjut,” katanya.
Sebelum ini, PSM dikhabarkan sedang berunding dengan majikan kedua-dua pemain Negeri Sembilan bagi membolehkan mereka beraksi pada temasya dwitahunan itu.
Nama mereka sebelum ini tercicir daripada skuad kebangsaan selepas didakwa tidak mendapat pelepasan kerana memerlukan cuti panjang untuk menyertai kem latihan pusat.
Kedua-dua pemain itu yang bergandingan dengan tekong kebangsaan, Haziq Hairul Nizam berada pada prestasi terbaik apabila membantu Negeri Sembilan Antlers menjuarai Grand Prix Negeri Sembilan dan Johor dalam saingan STL baru-baru ini. – UTUSAN










