ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menurunkan semua pemain importnya menentang Lion City Sailors dalam aksi sulung Kejuaraan Kelab ASEAN merebut Piala Shopee, malam ini.
Pengendali JDT, Xisco Munoz berkata, ini adalah perlawanan kompetitif antarabangsa pertama skuad Harimau Selatan musim ini dan mereka mahu membuka langkah kanan mengutip tiga mata.
“Dalam saingan antarabangsa ini, kami boleh menurunkan seramai mana pemain import dan semua pemain berada pada tahap terbaik untuk diturunkan pada perlawanan itu.
“Bagaimanapun, kami tidak boleh terlalu yakin dan perlu memberi tumpuan penuh pada aksi di atas padang. Kami sudah mengkaji aksi pasukan lawan dan tahu taktikal yang mereka gunakan selain transisi permainan yang selalu diterapkan lawan,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.
Selain Lion City, Harimau Selatan turut diundi bersama kelab dari Thailand, Bangkok United, Nam Dinh (Vietnam), PKR Svay Rieng (Kemboja) dan Shan United (Myanmar).
Pengendali kelahiran Sepanyol itu juga berkata, pemain perlu memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri bagi memastikan misi mengutip tiga mata pertama tercapai sekali gus membuka peluang untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan itu.
“Pemain perlu mempamer mentaliti juara dan semangat juang yang tinggi bagi memastikan kita memperoleh permulaan yang positif. Kami tidak boleh league dan memperagakan aksi di tahap maksimum,” ujarnya.
Sementara itu, pengendali kelab Singapura, Lion City Sailors, Aleksandar Rankovic tidak gentar berdepan JDT walaupun rekod pertemuan sebelum ini tidak memihak mereka.
Walaupun rekod pertemuan dalam aksi persahabatan tahun lalu memihak kepada Harimau Selatan, Rankovic berkata, ia adalah pertemuan yang berbeza dan tidak menjangkakan perkara sama akan berulang.
Katanya, finalis Liga Juara-juara Asia 2 (ACL 2) itu kini sudah bersiap sedia untuk berdepan juara Liga Super itu bagi mendapatkan permulaan yang baik dalam kejohanan tersebut. – UTUSAN










