JDT akan terus ‘berkuasa’? Selangor belum sedia

JDT akan terus ‘berkuasa’? Selangor belum sedia

Penjaga Selangor FC Kalamullah Al Hafiz menumbuk bola keluar ketika diasak penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Jairo De Macedo pada perlawanan Sumbangsih 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu lalu. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Realiti liga bola sepak Malaysia sejak sedekad lalu dan musim baharu yang membuka tirai Jumaat lepas, memberi gambaran jelas bahawa Johor Darul Ta’zim (JDT) akan terus mendominasi saingan Liga Malaysia (Liga M).

Selangor FC (SFC) yang digembar-gemburkan sebagai pencabar utama nyata belum cukup ampuh untuk meruntuhkan tembok dominasi Harimau Selatan.

Kemenangan mudah 3-0 JDT ke atas SFC pada perebutan Piala Sultan Ahmad Shah atau turut dikenali sebagai perlawanan Sumbangsih menceritakan bahawa jurang masih terlalu jauh antara kedua-dua pasukan, malah skuad Harimau Selatan memberi isyarat jelas bahawa mereka belum puas dan masih dahagakan kejayaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sekiranya naib juara musim lalu, Selangor FC (SFC) dilihat gagal memberi tentangan kepada JDT, mungkin tidak salah untuk mengatakan bahawa pasukan milik Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail akan mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut.

JDT juga bakal mempertahankan Piala Malaysia serta Piala FA sekali gus menyapu bersih trofi yang dipertandingkan di Liga Malaysia (Liga M) sekali gus mencipta satu lagi sejarah baharu dalam kancah bola sepak tempatan.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menyifatkan JDT yang dibimbing Xisco Munoz itu bagaikan tidak tercabar oleh SFC sekali gus memberi petanda besar betapa pasukan itu akan terus mendominasi kancah bola sepak tempatan pada musim ini.

Jelas Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu, melihat JDT adalah sebuah pasukan yang benar-benar sempurna di Liga M dan amat mustahil untuk melihat mereka ditewaskan oleh mana-mana kelab tempatan.

“JDT sangat sempurna. Kekuatan JDT bukan hanya pada 11 pemain utama, tetapi kedalaman skuad mereka yang membolehkan penggiliran tanpa menjejaskan mutu permainan.

“Berbeza dengan SFC yang seperti bermain di bawah tekanan dan kemahiran individu mereka yang berbeza berbanding JDT. Mungkin mereka ada perancangan tetapi ia gagal diterjemahkan kerana bertemu pasukan seperti JDT.

“Namun berdasarkan perlawanan ini, kita tidak dapat nafikan betapa JDT akan terus mendominasi saingan. Andai kata JDT kalah sekalipun, ia mungkin kerana pasukan lawan memang bernasib baik.

“Selangor ada potensi, tetapi untuk bersaing di tahap ini memerlukan bukan sahaja taktikal yang mantap, malah ‘squad depth’ yang setara,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Selangor pula mungkin akan terus bersaing merebut kedudukan naib juara bersama 11 kelab lagi di Liga Super berikutan kesukaran untuk mereka menggugat juara bertahan, JDT.

Saingan liga baharu bermula dan Selangor masih mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan serta kekurangan yang telah dikenal pasti untuk dipertingkatkan pada perlawanan akan datang.

Untuk rekod, kemenangan 3-0 ke atas SFC itu menyaksikan JDT terus mencipta sejarah apabila menjulang Piala Sultan Ahmad buat kali kelapan berturut-turut sejak 2018.

Tidak keberatan juga untuk menyatakan bahawa status gergasi bola sepak Malaysia akan terus kekal seperti musim-musim lalu dengan berpusat di Johor Bahru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini