TRW, DPMM, Imigresen perlu cari venue sepanjang Ramadan

TRW, DPMM, Imigresen perlu cari stadium sepanjang Ramadan

PRESIDEN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Ketua Pegawai Perkongsian Genius Sports, Steven Burton selepas Pengumuman Kerjasama Strategik antara MFL dan Genius Sports di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga pasukan Liga Super musim ini, The Real Warriors (TRW), DPMM FC dan Imigresen FC bakal berdepan cabaran logistik apabila terpaksa mencari stadium alternatif untuk aksi sepanjang bulan Ramadan nanti.

Ia susulan stadium utama ketiga-tiga pasukan itu tidak dapat digunakan atas faktor-faktor tertentu sepanjang bulan mulia tersebut.

Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu yang menjadi gelanggang rasmi TRW dan Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, Brunei bagi DPMM FC, tidak tersedia untuk sebarang aksi Liga Super sepanjang Ramadan atas sebab operasi.

Sementara itu, Imigresen FC pula tidak dapat menggunakan Stadium Negeri Batu Kawan pada waktu malam kerana tidak menepati syarat pencahayaan yang ditetapkan untuk perlawanan malam.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, ketiga-tiga pasukan telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan diberi tempoh sehingga 15 Ogos ini untuk mengemukakan cadangan venue gantian masing-masing.

“Mengikut jadual yang dikeluarkan, ketiga-tiga pasukan ini dijadualkan beraksi sebagai tuan rumah sepanjang Ramadan.

“Namun, kita maklum akan kekangan venue yang dihadapi – di Kota Bharu dan Brunei, stadium tidak dapat digunakan, manakala bagi Imigresen FC pula, stadium mereka tidak sesuai digunakan pada waktu malam.

“Oleh itu, kita minta mereka maklumkan segera venue alternatif supaya penjadualan perlawanan dapat disusun dengan baik,” katanya pada Majlis Pengumuman Kerjasama Strategik antara MFL dan Genius Sports di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Mengulas lanjut, Shazli menjelaskan bahawa MFL lebih mengutamakan penggunaan venue alternatif berbanding memindahkan semua aksi pasukan berkenaan ke tempat lawan sepanjang Ramadan.

“Kita tidak galakkan mereka bermain semua perlawanan di tempat lawan kerana kita perlu menjaga imbangan perlawanan di laman sendiri dan lawan yang telah ditetapkan dalam jadual.

“Tambahan pula, undian Piala FA yang akan berlangsung nanti juga mungkin menyebabkan mereka perlu bermain di tempat sendiri atau sebaliknya,” katanya.

Sebagai penyelesaian, beliau mencadangkan beberapa venue seperti di Kuantan atau Lembah Klang yang masih boleh digunakan dan sesuai dijadikan sebagai gelanggang sementara untuk ketiga-tiga pasukan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN